Schweinsteiger pilihan utama kapten Jerman

0

BERLIN, Jerman: Jeneral tengah Jerman Bastian Schweinsteiger merupakan pilihan utama untuk menjadi kapten juara Piala Dunia ekoran persaraan Philipp Lahm yang mengejutkan pentas antarabangsa.

Schweinsteiger menjadi simbol kejayaan Jerman memenangi piala keempat apabila dia terus juga bermain sepanjang kemenangan ke atas Argentina dalam perlawanan akhir walaupun mukanya terkena siku yang menyebabkan luka berdarah.

“Kami akan merindui anda dalam pasukan, kawanku! Seronok sekali selama ini! Terima kasih Philipp (Lahm),” kata satu penghormatan Twitter daripada Schweinsteiger kepada rakan sepasukannya di Bayern Munich itu ekoran pengumuman Lahm.

Usia tidak menyebelahi Schweinsteiger.

Beliau akan berusia 30 tahun pada 1 Ogos depan sudah bermain dalam 108 perlawanan dan bergelut dengan kecederaan sejak dua tahun lalu.

Namun, beliau sudah secara rasmi menjadi timbalan Lahm dan kualiti kepimpinannya telah dipuji ramai.

“Kita tidak perlu berfikir terlalu lama,” kata Lothar Matthaus, kapten Jerman ketika mereka memenangi Piala Dunia 1990 yang bermain dengan rekod 150 kali bagi negaranya.

“Saya bercakap pada dasar bahawa Bastian Schweinsteiger akan mengambil alih lilitan lengan kapten. Beliau sudahpun menjadi timbalan kapten,” kata Matthaus kepada televisyen Sky Sport.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew belum menyatakan bila beliau akan melantik kapten baharu dan tidak menerima tekanan kerana kelayakan Kejohanan Eropah bermula hanya pada September nanti.

Jika beliau mencari calon lebih muda, pemain pertahanan Mats Hummels, 25, dan penyerang Thomas Mueller, 24, juga menjadi tonggak dalam pasukan yang menjuarai dunia itu.

Rudi Voller, jurulatih Jerman ketika Lahm pertama kali bermain pada peringkat antarabangsa pada 2004, berkata pemain pertahanan Bayern itu dapat terus bermain sehingga kejohanan Piala Dunia di Rusia pada 2018.

Loew hanya memberi tumpuan kepada penghormatan yang diberikan kepada Lahm yang hanya memaklumkan kepadanya tentang keputusannya ketika bersarapan sehari selepas perlawanan akhir Piala Dunia pada pagi Isnin.

“Beliau seorang pemain kelas dunia. Beliau membuktikannya sekali lagi sejak beberapa minggu lalu di Brazil,” Loew menyebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB).

“Lahm merupakan seorang pemain profesional contoh mengorbankan segalanya untuk kejayaan pasukan,” tambah Loew yang melantik Lahm sebagai kapten sejurus sebelum kejohanan akhir Piala Dunia 2010.

“Beliau seorang tokoh utama yang sentiasa penting untuk dibawa berbual yang dapat membincangkan idea bersama kami.

“Beliau boleh berbangga dengan kariernya. Beliau seorang pemain hebat berhati waja, begitu bersemangat dan berperwatakan,” kata Loew.

Tanpa memberikan sebarang petunjuk tentang pengumumannya yang mengejutkan, Lahm berkata pada kejohanan Piala Dunia, beliau menyedari ia mungkin kejohanan terakhirnya dan berikrar untuk mengerahkan segala kudrat yang ada ke dalam perjuangan mereka.

Selain Piala Dunia, bersama Bayern, Lahm memenangi lima kejuaraan Bundesliga, lima Piala Jerman, Piala Super Jerman sebanyak dua kali selain Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia. — AFP