Selamat tinggal Jerman

0

Lahm putuskan untuk bersara dari pentas dunia, kejohanan Piala Dunia 2014 adalah yang terakhir

BERLIN, Jerman: Penghormatan diberikan kepada kapten Jerman, Philipp Lahm Jumaat lalu yang menamatkan karier antarabangsa hanya lima hari sahaja selepas beliau memimpin negaranya menjuarai Piala Dunia Brazil 2014.

Pengumuman pemain pertahanan Bayern Munich berusia 30 tahun itu sudah bermain 113 kali untuk Jerman akan berundur daripada pentas antarabangsa mengejutkan ramai pihak.

“Ia tidak akan mudah untuk menggantikan Lahm sebagai seorang pemain, insan dan kapten,” kata legenda Jerman dan ketua eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

Karier Lahm sudah sarat dengan kejuaraan Bundesliga dan Liga Juara-Juara, mencapai kemuncaknya dalam kemenangan 1-0 pada awal Isnin lalu ke atas Argentina yang menjadikan Lahm kapten ke-20 memenangi Piala Dunia.

Beliau mempamerkan Piala Dunia kepada kira-kira 500,000 orang memberikan sambutan wira kepada pasukan Jerman di Berlin pada Selasa lalu.

Jerman terkejut dengan persaraan berkenaan yang diumumkan oleh ejen Lahm, Roman Grill kepada agensi berita sukan SID sebuah subsidiari AFP.

Namun Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) mengesahkan ia perlu mencari kapten baharu.

“Ini adalah masa sesuai bagi saya (selepas memenangi kejuaraan),” Grill memetik Lahm sebagai berkata.

Grill berkata, Lahm sudah menimbang sepanjang musim untuk menamatkan zaman bermain pada peringkat antarabangsa.

“Saya membuat keputusan bahawa Piala Dunia di Brazil adalah kejohanan Jermanterakhir saya,” tambah Lahm.

Lahm, salah seorang pemain pertahanan terbaik daripada generasinya menjadi kapten Jerman sejak 2010.

Beliau telah menjadikan diri sebagai pemimpin mutlak pasukan Jerman dan merupakan tempat jurulatih, Joachim Loew mengadu semasa kempen Piala Dunia.

Lahm berkata, beliau bersara dalam keadaan yang amat harmoni dengan DFB.

Beliau memaklumkan Loew tentang keputusannya untuk bersara ketika mereka bersarapan selepas kejayaan memenangi Piala Dunia.

Presiden DFB, Wolfgang Niersbach dimaklumkan mengenai keputusan Lahm pada pagi Jumaat lalu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepadanya (Lahm) atas kejayaan cemerlang selama 10 tahun bersama kami,” katanya.

Niersbach berkata, beliau pantas memahami kita tidak dapat memaksa Lahm mengubah fikiran.

Beliau memuji Lahm bukan sahaja sebagai seorang pemain luar biasa tetapi juga contoh mutlak.

Penyerang veteran, Lukas Podolski berkata dalam Twitter, “Philipp (Lahm) adalah satu penghormatan bagi saya untuk berjuang di sisi anda untuk bermain dan meraikan kejayaan bersama anda selama 10 tahun dalam pasukan kebangsaan dan selama tiga tahun bersama Bayern.

Seorang lagi anggota skuad Piala Dunia, Mesut Ozil, berkata, “Terima kasih Philipp (Lahm). Terima kasih atas segalanya. Kami akan merindui anda!” Rummenigge berkata, bersara di kemuncak karier anda sebagai juara dunia tiada cara yang lebih baik untuk berundur.

“Bagi ‘Die Mannschaft’, ia tidak akan mudah untuk menggantikan Lahm sebagai seorang pemain, seorang insan dan kapten,” tambah Rummenigge.

Canselor Jerman Angela Merkel turut memberi penghormatan kepada kapten yang bersara itu.

Lahm merupakan kapten keempat pasukan Jerman yang menjulang Piala Dunia selepas Fritz Walter (1954), Franz Beckenbauer (1974) dan Lothar Matthaeus (1990).

Pemain pertahanan itu akan terus bermain bola sepak kelab bagi juara Bundesliga, Bayern Munich bermain buat julung kalinya pada peringkat antarabangsa pada 2004 dalam perlawanan menentang Croatia.

Kontraknya bersama Bayern akan tamat pada 2018. — AFP