DAP ancam tarik diri daripada PR

0

Oleh Florence Nervyn //

Keluar jika PAS gagal tetap pendirian mengenai pelaksanaan hudud di S’wak

SIBU: Satu lagi kemelut politik menggegarkan Sarawak yakni Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri semalam mengancam untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat (PR) Sarawak jika Parti Islam Se-Malaysia (PAS) gagal menetapkan pendirian mengenai pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.

Pada mesyuarat DAP Sarawak semalam, parti pembangkang itu memutuskan tidak terlibat atau menyertai semua aktiviti dianjurkan PR dan PAS berkuat kuasa serta-merta sehingga dua syarat ditetapkan mereka dipenuhi oleh PAS.

Kedua-dua syarat itu adalah PAS Malaysia kembali kepada dasar-dasar bersama manifesto PR dalam Pilihan Raya Umum lalu dan PAS tidak akan meneruskan niat untuk melaksanakan hukum hudud di Sarawak.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen pada sidang media di pejabat DAP Sibu berkata pihaknya tidak berkompromi mengenai isu keagamaan walaupun harus ke meja rundingan bercakap tentang pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang sehingga kedua-dua syarat itu dipenuhi.

Katanya DAP Pusat di Semenanjung Malaysia tidak akan campur tangan dalam DAP Sarawak, bagaimanapun mereka (DAP Sarawak) akan memaklumkan resolusi mesyuarat semalam kepada DAP Pusat.

Chong berkata, mereka membiarkan kepimpinan pusat membicara perbezaan agama dengan PAS namun jika isu perbezaan agama tidak dapat diselesaikan mereka membuat keputusan keluar daripada PR.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu turut melahirkan rasa kecewa terhadap rakan dalam PR, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya berdiam diri terhadap isu pelaksanaan hukum hudud.

“Ketika PAS ingin meneruskan niat melaksanakan hukum hudud, PKR berdiam diri tanpa membuat sebarang pendirian,” ujarnya sambil menambah bahawa PAS Kelantan telah bertemu dengan Jabatan Perdana Menteri berhubung pelaksanaan hukum hudud di negeri itu pada Khamis lalu.

Chong berkata pelaksanaan hukum hudud menarik perhatian orang ramai selepas kajian dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap kesahan pelaksanaan hukum hudud melampaui Pelembagaan Persekutuan.

“DAP Sarawak membuat resolusi bahawa pelaksanaan hukum hudud bertentangan dengan manifesto bersama Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum lalu, Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.

“DAP Sarawak kecewa dengan tindakan PKR yang berdiam diri dan selagi permintaan dan syarat DAP Sarawak tidak dipenuhi, kita menarik diri daripada Pakatan Rakyat dan tidak akan terlibat atau menyertai semua aktiviti yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan PAS,” katanya.