APMM tahan tiga bot nelayan masuk zon perintah berkurung

0

Oleh AMIR ANUAR

22 awak-awak dan seorang tekong turut ditahan.

TAWAU: Tiga bot nelayan yang dikesan berada di kawasan yang diwartakan perintah berkurung ditahan Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia di sini Isnin lepas.

Menurut Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Tawau, Kapten Maritim Anor Hj Jaafar, penahanan itu dibuat di perairan timur Pulau Bohey Dulang, Semporna kira-kira jam 1 pagi.

“Kita turut menahan 22 awak-awak berumur 20 hingga 30 tahun termasuk tekong dan rata-rata mereka didapati warga Indonesia dan hanya seorang warganegara Malaysia,” katanya.

Anor berkata, kesemua tahanan, bot dan dokumen berkaitan diarahkan supaya dibawa ke Jeti Seafest, Semporna untuk pemeriksaan lanjut kerana melanggar arahan perintah berkurung.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda RM500 atau penjara selama 6 bulan jika sabit kesalahan.

“Kita berharap komuniti perairan timur Sabah khususnya nelayan dan semua komuniti maritim mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Sila dapatkan permit kelulusan daripada polis dengan alasan yang munasabah seperti hal-hal kecemasan jika terpaksa memasuki kawasan dan pada masa yang diwartakan,” katanya.

Menurutnya, hanya polis, tentera, APMM dan tentera laut sahaja yang dibenarkan berada di lokasi-lokasi terbabit selagi masih di dalam tempoh pengisytiharan perintah berkurung.

Beliau berharap orang ramai akan terus bekerjasama dengan APMM dan menyalurkan sebarang maklumat menerusi MERS 999 atau Hotline APMM Tawau di talian 089-752115.