Ejen insuran wanita ditahan reman 24 jam

0

Oleh Amir Anuar //

SUSPEK (tengah) diiringi dua pegawai polis wanita semasa tiba di IPD Tawau.

TAWAU: Siasatan kes seorang ejen insuran wanita yang disyaki membuat kenyataan berbaur provokasi di medium laman sembang sosial dijalankan mengikut Akta Hasutan.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah, polis sudah memberkas suspek terbabit yang berusia 38 tahun di rumahnya di Jalan Bunga Raya.

“Suspek ditahan di kediamannya kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin oleh sepasukan polis yang diketuai ASP Jafri Othman,” katanya kepada pemberita di sini.

Suspek dilihat turun dari van polis memakai kaca mata hitam, berbaju kelabu dan berlengan panjang biru, berseluar hitam paras lutut serta sandal wanita berwarna putih.

Awang berkata, tahanan reman ke atas suspek dibuat menerusi Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan.

Siasatan ke atas wanita itu dipercayai dijalankan kerana suspek disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menerbitkan pernyataan menghasut di Facebook.

“Buat masa ini, kita akan meneruskan tahanan reman ke atas suspek selama 24 jam tetapi berkemungkinan kita akan tambah kepada tujuh hari.

“Namun itu semua bergantung kepada hasil soal-siasat yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ke atas suspek,” katanya.

Awang berkata, polis turut merampas link putih Wi-fi, alat pengecaj semula, telefon mudah-alih jenama iPhone dan kad sim.

Untuk rekod, akaun Facebook suspek dikatakan menjadi sasaran ‘kemarahan’ orang ramai yang berang akibat pernyataan yang diungkapkan di akaun peribadi milik suspek.

Bagaimanapun, suspek dikatakan mendakwa akaun Facebook terbabit sudah kena ‘hacked’ dan dia sendiri ada membuat laporan polis mengenainya pada 2013.