Langgar lari

0

Oleh Rosemaria Buma //

Isteri maut, suami parah motosikal dinaiki dilanggar Perodua Myvi yang dipandu laju sambil melawan arah

PARAH: Seorang kakitangan perubatan memeriksa Dinggai di tempat kejadian.

MIRI: Seorang isteri maut manakala suaminya parah setelah motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Gunung Subis berhampiran pekan Batu Niah di sini malam kelmarin.

Mangsa yang dikenali Cathrine Kalaw, 44, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Batu Niah akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Manakala suaminya, Dinggai Acjai, 42, cedera di kepala dan beberapa bahagian badan lain, dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.

Menurut sumber, sebelum kejadian sekitar jam 9 malam itu kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari pekan Batu Niah menuju Sepupok.

Setibanya di tempat kejadian, keduadua mangsa yang menaiki motosikal jenis Modenas dilanggar sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu laju sambil melawan arah.

Akibat perlanggaran itu, pasangan malang yang berasal dari Rumah Mangun, Sungai Sebatuk, Suai itu tercampak di atas jalan raya.

Manakala pemandu Myvi terus memecut laju dipercayai melarikan diri.

DITINGGALKAN: Kereta Perodua Myvi ditemui ditinggalkan di tepi Jalan Pesisir Pantai dipercayai terlibat dalam kemalangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Berikutan itu, sepasukan polis dari Batu Niah menahan sebuah kereta Myvi yang ditinggalkan di tepi Jalan Pesisir Pantai berhampiran SMK Suai kerana disyaki terlibat dalam kemalangan tersebut.

Ketika ditemui terdapat kesan remuk pada sebelah kanan kenderaan tersebut selain tayarnya pancit.

“Sehubungan itu, polis kini berusaha mengesan pemilik kenderaan tersebut untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.