Lelaki lapor polis dua lelaki baling botol petrol ke rumahnya

0

SIBU: Seorang lelaki tampil membuat laporan polis selepas kawasan rumahnya di Jalan Serai dibaling botol kaca berisi petrol sekitar tengah malam.

Pengadu yang berusia 31 tahundan berbangsa Cina serta seorang jurukimpal berada di dalam bilik apabila dia  terdengar bunyi botol pecah di kawasan rumahnya.

Apabila dia menjenguk cermin tingkap mendapati dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal jenis Yamaha Ego berwarna putih sedang membaling botol kaca.

Tindakan dua lelaki itu memaksa dia menjerit sehingga menyebabkan dua lelaki itu terus beredar dari situ.

Selepas memeriksa keadaan di luar rumah, pengadu mendapati beberapa biji botol kaca berisi petrol pecah ditemui di kawasan letak kereta.

Nasib baik kereta terbabit tidak terbakar kerana sumbu pada botol kaca tersebut tidak menyala.

Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, pengadu pergi ke balai polis membuat laporan mengenai insiden berkenaan.