Reputasi Bottas melonjak, Williams menjadi saingan

0

HOCKENHEIM, Jerman: Valtteri Bottas, meningkatkan reputasinya sebagai salah seorang bintang semakin menyerlah dalam Formula Satu (F1) selepas menduduki tempat kedua perlumbaan Grand Prix Jerman Ahad lepas.

Pemandu dari Finland berusia 24 tahun itu memandu kereta Williams dengan penuh keyakinan untuk menaiki podium buat kali ketiga berturut- turut dan memastikan kemenangan podium ke-300 Williams dalam F1.

“Ia menarik sekali – beberapa pusingan terakhir sangat sengit dengan Lewis (Hamilton) tetapi saya benar-benar gembira di mana kami boleh mengekalkan kedudukan untuk memisahkan dua pasukan Mercedes,” kata beliau.

“Saya melihat bahagian hadapan kereta beliau sedikit rosak dan saya tahu beliau akan bergelut di bahagian selekoh.

“Jadi saya cuba menjarakkan kedudukan dan sentiasa mempunyai pecutan yang baik selepas selekoh terakhir untuk laluan lurus. Saya memberikan fokus sepenuhnya untuk mengekalkan kedudukan saya (di tempat kedua).”

Bottas menangani saingan Hamilton dengan bergaya dan menambah kebangkitan pasukan Williams dengan strategi perlumbaan yang ideal untuk menyamai pencapaian terbaik beliau setakat ini.

Beliau menambah: “Ia berlaku seperti apa yang dirancang – ia adalah pelan utama dan berhasil. Kami tahu ia adalah sukar untuk kami di sini dengan hanya dua hentian pit dan bertahan lebih lama dengan tayar yang ada.

“Pada pecutan akhir – dengan 27 pusingan pada set tayar baharu dan cabaran dari Lewis – ia bukannya mudah. Tetapi sekali lagi komunikasi di antara saya dan jurulatih pasukan adalah sangat bagus.”

Kejayaan beliau menduduki tempat kedua membolehkan pasukan Williams memintas Ferrari untuk ke tangga ketiga keseluruhan kategori pengeluar, di belakang Mercedes dan Red Bull. — AFP