Tiga lelaki diberkas, sejumlah dadah dirampas

0

MIRI: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri berjaya memberkas tiga lelaki dan merampas sejumlah dadah dalam serbuan di dua lokasi berasingan di kawasan Tudan di sini kelmarin.

Dalam serbuan pertama sekitar jam 11.30 pagi, sepasukan polis diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman menahan dua lelaki di hadapan sebuah rumah di Quadruplex, Bandar Baharu Permyjaya di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah.

Polis yang melakukan pemeriksaan badan menjumpai dan merampas sebiji pil Eramine 5 milik mereka untuk dijadikan barang kes.

Berikutan itu, polis menangkap kedua-dua suspek berusia 35 dan 38 tahun itu untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah berbahaya.

Polis turut melakukan ujian saringan awal air kencing ke atas mereka mendapati hasil ujian masing-masing menunjukkan kesan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Manakala dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Tudan, polis menahan seorang pengganggur berusia 30 tahun yang disyaki terlibat kegiatan sama.

Dalam serbuan sekitar jam 12.15 tengah hari, polis menjumpai dan merampas satu tiub straw berisi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu di dalam bilik tidur suspek.

Dadah itu dirampas dan suspek kemudian ditangkap serta dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan lanjut.

Hasil ujian air kencing suspek juga menunjukkan kesan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.