Tujuh keluarga kaum Penan tinggal sehelai sepinggang

0

RANAP: Anak-anak Penan di Kampung Bahagia Long Napir hanya menyaksikan kediaman mereka tinggal tunggul dalam kebakaran Isnin lalu.

LIMBANG: Tujuh keluarga masyarakat Penan di Kampung Bahagia Long Napir di sini tinggal sehelai sepinggang setelah kediamanan mereka musnah dijilat api dalam kebakaran, Isnin lalu.

Kebakaran berlaku jan 10.50 malam itu meranapkan enam pintu sebuah blok rumah panjang menyebabkan 27 mangsa kebakaran hilang tempat berteduh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang turut bersimpati dengan musibah itu berkata sejumlah RM3,500 diagihkan kepada tujuh ketua keluarga mangsa kebakaran.

“Selain itu, saya dimaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian juga menyerahkan bantuan berupa makanan, keperluan dapur dan bahan binaan kepada mangsa kebakaran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Paulus berkata kejadian itu juga dimaklumkan kepada Menteri Muda di Pejabat Ketua (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk John Sikie Tayai yang akan mengadakan lawatan ke lokasi kejadian.

“Saya akan berbincang dengan menteri terbabit (Sikie) mengenai bantuan lain yang diberikan kepada mangsa kebakaran terbabit,” ujarnya.

Kampung Bahagia Long Napir dihuni majoriti kaum Penan mempunyai empat blok rumah panjang.

Sementara itu, Ketua Unit Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang Mohd Farbu Awang Abdul Hamid berkata pihaknya menerima panggilan polis empat hari kemudian.

“Kami mengarahkan dua anggota ke lokasi kejadian kelmarin dan rumah berkenaan 100 peratus hangus, namun tiada mangsa yang terlibat,” katanya di sini semalam.

Mohd Farbu berkata punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.