Wanita peroleh kembali lapan CD dirampas KDN

0

CD mengandungi ajaran Kristian mengguna kalimah ‘Allah’

KUALA LUMPUR: Seorang wanita beragama Kristian semalam memperoleh semula lapan cakera padat (CD) mengenai ajaran Kristian yang mengandungi kalimah ‘Allah’ setelah ia dirampas Kementerian Dalam Negeri, enam tahun lepas.

Jill Ireland Lawrence Bill dari Sarawak dibenar memiliki semua CD itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof membenarkan permohonan semakan kehakiman olehnya bagi mendapat satu perintah mandamus untuk mengarahkan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu (tahun 2008) mengembalikan semula semua CD itu.

Dalam keputusannya, Za-leha juga membenarkan permohonan Jill bagi membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri yang menahan dan menyita lapan cakera padat milik wanita itu.

Hakim itu juga memerintahkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden membayar kos RM500 kepada Jill.

Zaleha memutuskan perintah yang dikeluarkan menteri itu untuk merampas CD adalah ultra vires.

“Di bawah Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 menyatakan kuasa untuk menahan hanya diberi kepada menteri, bagaimanapun saya bersetuju bahawa perintah itu adalah ultra vires,” katanya.

Zaleha juga berkata tindakan yang dibuat oleh pegawai kastam, Suzanah Muin merampas CD tersebut adalah bersifat ultra vires dan me-nyalahi  undang-undang.

Cakera padat itu dirampas pada 11 Mei, 2008 di bangunan lama Terminal Pener-bangan Tambang Rendah di Sepang.

CD berkenaan antara lain, mengandungi bahan bertajuk ‘Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah’, ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’ yang dibawa dari Indonesia.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 20 Ogos 2008, Jill yang merupakan seorang kerani menuntut mahkamah mengetepikan keputusan kementerian merampas CD terbabit dan perintah untuk mengarahkan kementerian itu mengembalikan CD ber-kenaan.

Peguam Kanan Persekutuan Munahyza Mustafa dan Ardi Razalijaya A. Radi yang mewakili kedua-dua responden ketika ditanya sama ada pihaknya akan merayu terhadap keputusan itu, beliau berkata pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu.

Jill diwakili peguam Lim Heng Seng. — Bernama