Berbuka puasa dengan cara berbeza

0

Oleh Henrietta Liza

 

SANA SINI: Pelbagai ragam pengunjung yang datang berbuka puasa bersama-sama di Padang Merdeka, Kuching baru-baru ini.

BERBUKA puasa seperti berkelah di tepi pantai bersama rakan taulan, sanak saudara dan keluarga di Semenanjung Malaysia kian menjadi ikutan masyarakat setempat di Sarawak.

Menurut Jurucakap ORG Kampong Afick Wazai, pihaknya mendapat idea itu setelah berhubung dengan rakan-rakan di laman media sosial Twitter untuk mencari cara berbeza untuk berbuka puasa.

Pada masa yang sama, seorang rakan berkongsi tentang cara unik berbuka puasa yang telah diadakan di Shah Alam dan Kuantan sebelum ini.

“Kami iklankan di laman sosial Facebook sejak 14 Julai dan ia mulai menjadi ‘viral’ di mana pada mulanya dijangka hanya teman-teman yang terdekat akan menyertai.

“Tetapi hari ini, pelajar IPTS, rakan-rakan, mereka yang berkeluarga dan pelbagai peringkat umur ada di sini dan nampaknya seperti mencecah lebih kurang 200 orang atau lebih,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa cara ‘potluck’ di Padang Merdeka, Kuching baru-baru ini.

Afick tidak menjangka pelawat yang datang akan menjadi lebih ramai tetapi berhasrat untuk melakukannya lebih kerap selepas ini dan mungkin akan mencadangkan agar majlis seperti itu diadakan pada setiap hari minggu (Ahad) sebagai aktiviti riadah di pusat bandar.

Sementara itu, jurucakap Colective (penganjur bersama) Fazli Taufek berkata, ia merupakan aktiviti yang sihat dan harus dilakukan secara kerap bersama ahli keluarga.

“Kadangkala bosan kerana sentiasa berbuka di tempat-tempat makan di pusat beli-belah.

“Ini memberikan sedikit kelainan dan lain kali akan disertakan dengan hiburan untuk berbuka puasa di luar,” katanya.

Pengunjung yang turut serta digalakkan memuat naik gambar mereka ke laman Instragram (IG) melalui #sungkeiluar.