Jangan ‘menyibuk’ dengan pembangunan di Baram

0

MIRI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang kelmarin memberi amaran keras kepada aktivis hak asasi manusia dan alam sekitar, supaya jangan ‘menyibuk’ dengan pembangunan di Baram dan masa depan yang dirancang untuk Baram.

Katanya kerajaan tidak pernah masuk campur dan mengganggu hal ehwal negara asing, justeru tiada sebab untuk aktivis asing ini termasuk aktivis tempatan mengganggu usaha kerajaan membangunkan rakyat di kawasan Baram.

“Apa yang telah kita (kerajaan) lakukan kepada mereka ini? Adakah kita pernah masuk campur isu dan masalah mereka dan hal ehwal (negara) mereka?

“Apa yang orang asing ini tahu mengenai kita, keperluan kita dan aspirasi kita untuk membangunkan rakyat dan negeri kita?” kata Jabu melontarkan soalan-soalannya kepada golongan aktivis terbabit yang terdiri daripada warga asing dan tempatan termasuk pembangkang yang cuba mengelirukan penduduk tempatan supaya menentang cadangan membina Empangan Baram.

Cadangan pembinaan Empangan Baram merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan induk di Baram, yang bertujuan membangunkan kawasan pedalaman (bahagian Miri) yang terbesar di negeri ini.

Dengan memberi gambaran masa depan Baram yang tidak ubah seperti ‘pekan hantu’ dengan rumah-rumah panjang dan penempatan yang ‘ditinggalkan’ dan semakin ‘hilang’ penghuninya, sekali gus menyebabkan aktiviti turut berkurangan kerana tiada peluang pekerjaan untuk golongan berpendidikan dan intelektual.

Beliau berkata perkara itu tidak dapat dinafikan kerana semakin ramai golongan yang berpendidikan dan berpelajaran akan meninggalkan kampung halaman masing-masing untuk menetap di bandar-bandar yang menyediakan peluang pekerjaan setaraf dengan kelayakan dan profesional mereka.

“Apatah lagi dengan bentuk muka bumi dengan penempatan yang berselerak, yang bakal menyaksikan Baram akan kekal mundur jika dibiarkan (seperti sekarang). “Justeru kerajaan cuba menyuntik ‘benih’ pembangunan ini (pelan induk pembangunan), supaya ia dapat membangunkan Baram dan penduduknya, secara berterusan,” katanya.

Menurut Jabu, langkah menubuhkan pusat pertumbuhan desa melalui projek pembinaan Bandar Baharu Telang Usan, merupakan penyuntik pembangunan kepada nadi kehidupan di Baram yang hampir ‘mati’.

“Ini membabitkan masa depan Baram. Sudah semestinya apabila ada perkara baharu yang akan dibangunkan untuk rakyat, mereka yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham, akan membawa orang dari luar dan dari seberang laut terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpandangan negatif tetapi memakai topeng pejuang hak asasi manusia dan aktivis alam sekitar, supaya menyokong dan berjuang untuk mereka,” ujarnya.

“Beri kami masa tujuh tahun dan anda akan saksikan betapa besarnya potensi dan manfaat yang akan diperolehi dan peluang-peluang yang akan membuka mata dan membawa masuk golongan intelektual dan mereka yang berkemahiran (di bandar-bandar) untuk pulang ke Baram,” tegas Jabu lagi.

Sehubungan itu beliau mengingatkan penduduk di Baram bahawa peluang tersebut tidak seharuskan dikorbankan untuk NGO-NGO yang mementingkan diri, yang melakukan demonstrasi dan halangan-halangan bagi menentang kerajaan dan pembangunan yang dibawanya.

Jabu memberitahu demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan kepada Elizabeth Deng sebagai temenggung baharu bagi masyarakat Kayan di sini.

Majlis penyerahan surat pelantikan rasmi itu diadakan di Pejabat Residen Miri di sini, lewat petang kelmarin.

Antara yang hadir ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Senator Datuk Lihan Jok, Residen Miri Anthonio Khati Galis dan Pegawai Daerah Miri Boniface Intang Apat.