Pelantikan ketua masyarakat bergantung kepada populasi sesuatu kaum: Jabu

0

MIRI: Jumlah populasi sesuatu kaum perlu menepati syarat untuk membolehkan ketua masyarakat mereka seperti ketua kaum, penghulu, pemanca atau temenggong dilantik di sesebuah kawasan khususnya di bandar-bandar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu memberitahu, kerajaan sedar bahawa semakin ramai masyarakat di luar bandar berhijrah ke bandar-bandar, menjadikan suku kaum mereka yang dulunya minoriti (di bandar), kini bertambah ramai.

Contohnya, masyarakat Orang Ulu, menurut beliau, dahulu hanya sedikit sahaja jumlah mereka di bandar-bandar, bagaimanapun pada hari ini, kadar kaum Orang Ulu yang berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Miri, Kuching, Sibu dan Bintulu semakin bertambah tinggi, menyebabkan kaum berkenaan menuntut untuk diberikan jawatan ketua masyarakat.

“Bagaimanapun jumlah populasi anda (suku kaum) perlu menepati syarat yang ditetapkan bagi pelantikan seseorang ketua masyarakat seperti penghulu atau pemanca,

yang dapat membantu menjaga hal ehwal, adat-istiadat, keperluan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum terbabit yang menetap di bandar-bandar,” jelas beliau.

“Dan usaha-usaha ke arah memilih dan melantik seseorang ketua masyarakat terbabit khususnya di kawasan bandar, dilakukan dengan bantuan kedua-dua pihak berkaitan iaitu Pejabat Residen dan Pejabat Daerah termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kuching, yang akan bertindak meluluskan permohonan berkenaan,”jelasnya.

Jabu memberitahu demikian selepas menyerahkan surat pelantikan rasmi kepada Elizabeth Deng yang dilantik sebagai temenggung bagi kaum Kayan di bahagian Miri, malam Ahad lalu.

Elizabeth mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama yang dilantik menjadi temenggung di negeri ini, sekali gus menjadikan beliau satu-satunya wanita yang memegang jawatan itu di Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabu mengingatkan bahawa pelantikan sebagai ketua masyarakat berkait rapat dengan tanggungjawab.

Justeru masyarakat katanya, tidak harus berasa ragu dengan kemampunan dan kebolehan

wanita menjadi wakil dan pemimpin dalam sistem ketua masyarakat itu.

“Saya percaya dalam masyarakat negara kita yang berbilang kaum ini, di mana setiap daripada kita memiliki bakat, kebolehan dan kemahiran tersendiri, maka tidak mustahil ia boleh berlaku dalam sesebuah masyarakat dan pelantikan ini adalah berdasarkan tanggungjawab yang mampu dipikul.

“Ia bukan kerana beliau adalah Elizabeth Deng atau kerana beliau adalah seorang pemanca sebelum ini.

“Kerana dalam sistem pentadbiran kerajaan, menunjukkan bahawa beliau mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut jika diberi peluang, maka kerajaan memberi mandat tersebut kepada beliau,” katanya.

Sehubungan itu, Jabu turut menyeru semua pihak khususnya masyarakat Orang Ulu di bahagian ini supaya memberi kerjasama dan sokongan penuh mereka kepada Elizabeth.

Sementara itu, pada majlis yang sama Jabu turut mengumumkan sumbangan daripada SALCRA berjumlah RM25,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang akan disampaikan di Kuching.