PKR terkejut DAP beri kata dua kepada PAS

0

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak terkejut dengan keputusan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak yang telah memberi kata dua kepada rakan mereka, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berhubung pendirian mengenai hudud tanpa berbincang atau memaklumkan mereka terlebih dahulu.

Pengerusinya Baru Bian (gambar) menyatakan, pihaknya juga teramat kesal kerana DAP Sarawak turut menyatakan PKR Negeri tidak memberi sebarang komitmen berhubung isu tersebut walaupun beliau sudah membuat beberapa kenyataan tentang perkara itu.

“Saya mengingatkan mereka (DAP Sarawak) dan mengajak mereka untuk membaca kenyataan-kenyataan saya iaitu ‘Sarawak Tidak Wajib Mengikuti PM Berhubung Hukum Hudud’ bertarikh 30 April 2014 dan ‘Sarawak Setuju Dengan Penubuhan Negara Sekular Malaysia’ bertarikh 18 Jun 2014 yang diterbitkan dalam beberapa akhbar tempatan dan dikongsikan dengan meluas dalam media sosial.

“Pendirian kami tidak mungkin lebih jelas dan lebih tegas jika mereka mengambil berat untuk membaca laporan-laporan tersebut.

“Kami sentiasa teguh berpegang kepada jaminan dalam Perlembagaan Sarawak dan terma Perjanjian Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan balas, kelmarin.

Ahad lalu, DAP Negeri mengancam untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat (PR) Sarawak jika PAS gagal menetapkan pendirian mengenai pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.

Pengerusinya Chong Chieng Jen turut melahirkan rasa kecewa terhadap rakannya, PKR Negeri dengan mendakwa mereka hanya berdiam diri terhadap isu tersebut.

“DAP Sarawak kecewa dengan tindakan PKR yang berdiam diri dan selagi permintaan serta syarat DAP Sarawak tidak dipenuhi, kita menarik diri daripada Pakatan Rakyat dan tidak akan terlibat atau menyertai semua aktiviti yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat atau PAS,” kata Chong.

Dalam pada itu, Baru yang juga ADUN Ba’ Kelalan berkata beliau juga hairan kerana DAP Sarawak telah mengambil langkah sedemikian secara bebas daripada DAP Pusat di mana DAP Pusat belum lagi memaklumkan tentang pendirian mereka berhubung langkah itu.