Tanpa seurat benang

0

Oleh Michael Ubam//

BERBOGEL: Tubuh wanita tukang urut ditutup dengan tuala oleh seorang anggota polis wanita.

SIBU: Seorang wanita warga asing menggeletar apabila Polis D7 menyerbu masuk ke dalam bilik ketika dia bersama seorang pelanggan lelaki dalam keadaan berbogel, dipercayai sedang melakukan hubungan seks.

Kerana terlalu takut, wanita dipercayai tukang urut warga China itu tidak mampu memakai sendiri pakaian sehingga dua anggota polis wanita mengambil tuala menutup badannya yang tanpa seurat benang.

Dalam serbuan ke atas sebuah pusat urut di Tingkat 1, Jalan Tuanku Osman di sini jam 10 malam kelmarin, pasukan D7 diketuai Inspektor Mohd Fazirul bersama anggotanya mendapati pasangan tersebut dipercayai sedang melakukan hubungan seks.

Polis turut menjumpai satu sarung kondom terpakai dan cecair pelincir di dalam bilik berkenaan.

Bagaimanapun, polis gagal menemui wang di dalam kaunter pusat urut tersebut yang menyediakan khidmat urut ala China dan Vietnam.

Pasangan tersebut diheret ke balai polis bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada jam 11 malam kelmarin, polis D7 turut mengadakan satu serbuan ke sebuah premis rumah kedai iaitu di tingkat satu, Jalan Mission di sini.

Ketika berada di tingkat satu, salah sebuah bilik sewa terletak di hujung didapati menjalankan perjudian secara atas talian.

Polis mendapati lima wanita sama ada sedang bermain atau menonton permainan judi menggunakan komputer secara online.

Ada kalangan wanita terbabit memakai kain sarung, dipercayai penghuni bilik sewa di situ dan seorang lelaki menjadi penjaga kaunter.

Sebanyak 12 set komputer dan satu unit modem dirampas polis.

Semua wanita ditahan berumur dalam lingkungan 20 hingga 30-an dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan dan dibebaskan semula dengan ikat jaminan polis.