Tindakan tegas jika lebih muatan

0

SIBU: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot yang membawa penumpang lebih daripada apa yang dibenarkan dalam permit pengangkutan sungai.

Pengawal LSS William Jinep berkata pihaknya mengadakan sekatan sungai untuk memastikan setiap arahan tersebut dipatuhi.

“Tindakan diambil terhadap mereka yang membawa muatan melebihi tahap dibenarkan dan jika didapati bersalah mereka boleh dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 di bawah Seksyen 34 (2) Ordinan Sungai Sarawak 1993,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jenis hukuman yang dikenakan kepada pengusaha yang sengaja membawa penumpang berlebihan.

Sementara itu, sekatan pertama dilakukan bermula kelmarin hingga 27 Julai ini manakala fasa kedua sekatan pada 1 hingga 3 Ogos depan.

Menurut Jinep, LSS melakukan sekatan di beberapa blok sungai terutama di Delta Rejang iaitu Tanjung Manis, Daro, Dalat, Oya dan Pusa laluan Kuching-Tanjung Manis.

Beliau juga menasihati penumpang agar membeli tiket awal dan tiket yang sah.

LSS melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan muatan berlebihan termasuk menguatkuasakan ‘No Ticket, No Entry’ di semua terminal utama seluruh Sarawak bermula 1 Mei lalu.

Di samping itu, LSS memerlukan semua penumpang mendaftar di kaunter sebelum dibenarkan ke kawasan berlepas.

Selain itu, LSS juga mewajibkan bot penumpang berada dalam keadaan selamat sepenuhnya sebelum mereka berlepas dari terminal atau dermaga.

LSS menggesa penumpang menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada pihaknya (LSS).

“Mereka hendaklah melaporkan kepada LSS jika bot tidak dilengkapi dengan peralatan keselamatan dan dalam keadaan kurang selamat,” kata Jinep.

Beliau berkata, penumpang perlu mengambil perhatian terhadap bilangan penumpang bot yang dinaiki mereka.