Trend kebakaran hutan di Sarawak serius

0

Oleh Jessica Jawing

 

MASIH BAIK: Antara pemandangan di sekitar bandar raya Kuching pada jam 10 pagi semalam. — Gambar Kong Jun Liung

KUCHING: Trend kes kebakaran hutan di Sarawak kini disifatkan pada tahap yang serius dengan kadar purata 185 peratus peningkatan khasnya pada Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata pada bulan ini sahaja setakat Isnin lepas, jabatan mencatatkan 187 kes kebakaran hutan berbanding 60 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Bulan Julai tahun ini sahaja sebanyak 187 kes kebakaran hutan seluruh negeri berbanding hanya 60 kes pada Julai tahun lepas.

“Ini menunjukkan satu catatan yang mengejutkan dan pada pendapat saya ia adalah satu trend yang serius kepada kita tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau memberitahu, kebanyakan kes kebakaran hutan disumbangkan hampir semua setiap bahagian di negeri ini termasuk Sibu, Miri dan Kuching.

Namun ujarnya, jabatan mendapati trend kebakaran hutan paling banyak dicatatkan dari bahagian Sibu sejak tiga tahun lepas.

“Tiga tahun lepas trend menunjukkan lebih 15 atau 30 kes kebakaran hutan disumbangkan dari kawasan Sibu.

“Kebiasaannya antara kawasan selalu kebakaran yang kami kenal pasti adalah di kawasan tanah kosong, terbiar atau semak-samun dan hanya pada kadar empat kes kebakaran melibatkan kebun,” tegasnya.

Sementara itu menurut laman sesawang rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat jam 12 tengah hari semalam, kesemua bahagian di negeri ini masih menunjukkan bacaan kualiti Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap baik dan sederhana.

Menurut bacaan IPU itu, Sibu antara yang mencatat IPU tertinggi iaitu 81, diikuti Sri Aman (76), Kapit (61), Bintulu (59), Sarikei (58), Kuching (52), Samarahan (50), Limbang (42), Miri (41) dan ILP Miri (36).

Bacaan IPU dikategorikan Baik untuk 0-50, Sederhana (51-100), Tidak Sihat (100-200), Sangat Tidak Sihat (200-300) dan Berbahaya (lebih 300).

Mengulas mengenai isu persiapan Hari Raya, Nor Hisham memberitahu hanya 30 peratus anggota JBPM Sarawak yang dibenarkan bercuti dan purata lebih 700 anggota akan bertugas di seluruh negeri.

“Bagi sebarang persiapan sempena perayaan ini, kami biasa sahaja cuma sekarang kami hanya kawal cuti sahaja iaitu 30 peratus anggota dibenarkan bercuti, ini bermakna kadar anggota yang bertugas semasa perayaan lebih 700 anggota.

“Pada musim perayaan ini, saya menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran memandangkan cuaca yang begitu panas buat masa ini bagi mengelak sebarang kemalangan yang tidak diingini.

“Selain itu, saya juga mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan elektrik yang melampau bebanannya takut ia akan mengundang sebarang insiden seperti litar pintas dan sebagainya,” kata beliau.

Nor Hisham pada masa yang sama memberitahu, ia antara dua perkara yang diberi tumpuan jabatan semasa perayaan ini.