UPP, TERAS hanya memecahbelahkan Bidayuh

0

Oleh Patricia Gari

 

KUCHING: Penubuhan dua parti politik baharu iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) hanya akan memecahbelahkan komuniti Bidayuh jika tiada penyelesaian terbaik diambil.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata penubuhan parti-parti politik itu secara langsung melibatkan Bidayuh kerana ia membabitkan lima wakil rakyat mewakili kaum berkenaan.

Beliau berkata perkembangan politik Sarawak sekarang melibatkan lima wakil rakyat Bidayuh iaitu Datuk Seri Richard Riot Jaem, Datuk Dr Jerip Susil, Datuk Peter Nansian, Anthony Nogeh dan Ranum Mina.

Menurutnya jika tiada jalan penyelesaian dicapai, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kemungkinan 2016, bakal menyaksikan Bidayuh menentang Bidayuh.

Dengan kata lain katanya, SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) akan menentang UPP dan SPDP (Parti Demokratik Progresif Sarawak) pula lawannya TERAS.

“Hakikatnya ia akan menyaksikan Bidayuh menentang Bidayuh kerana SUPP ada Datuk Richard Riot, UPP ada Dr Jerip dan Ranum, SPDP pula ada Nogeh dan Nansian.

“Jadi ada lima YB Bidayuh terlibat secara langsung dalam empat parti itu.

“Saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah situasi itu nanti dan sudah tentu saya sangat bimbang,” katanya sambil menambah, sebagai pemimpin kanan dalam kalangan komuniti itu sudah tentu beliau mahu kemelut politik itu dapat diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi dialog bersama ketua masyarakat Bidayuh di Ibu Pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini semalam.

Manyin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu memberitahu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kelima-lima wakil rakyat berkenaan Jumaat ini untuk membincangkan perkara tersebut.

“Meminta pucuk kepimpinan BN menasihati jauh sekali memujuk mereka, adalah di luar bidang kuasa saya, tetapi saya akan cuba menyampaikan mesej dalam pertemuan Jumaat ini.

“Mesej saya kepada mereka ialah lupakan mengenai parti politik diwakili sebaliknya fikirkan mengenai kepentingan Bidayuh terlebih dahulu, sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun sebelum 2016 atau lebih tetap Pilihan Raya Negeri akan datang,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Manyin berkata dalam satu forum diwakili lima wakil rakyat berkenaan termasuk dua setiausaha politik kepada ketua menteri sekitar 1996, satu persetujuan dicapai iaitu parti politik elemen kedua diutamakan selepas komuniti diwakili.

Persetujuan itu katanya, sangat penting kerana dari sudut politik sebenarnya Bidayuh benar-benar berpecah jika tidak ditangani dengan bijak lebih-lebih lagi apabila menjelangnya pilihan raya.

“Setiap kali pilihan raya, perkara pertama yang diberi penekanan ialah kita mewakili Bidayuh menerusi BN.

“Jadi isu parti politik diwakili tidak pernah timbul dan apabila berkempen, kami menggunakan idea itu, jadi yang timbul hanyalah Bidayuh dan BN,” jelasnya.

Manyin menambah, wakil rakyat yang mewakili UPP dan TERAS harus menerima dengan terbuka calon boleh menang dipilih pucuk kepimpinan BN menjelang PRN akan datang.

Sebagai kumpulan yang mesra BN, ujarnya mereka harus menerima apa jua keputusan pucuk kepimpinan BN berhubung calon bakal bertanding nanti, meskipun bermakna calon boleh menang sangat subjektif.