56,895 penerima bantuan bulanan di Sarawak

0

Oleh Ambrose Rirang //

JKMNS salur RM89,023,485 kepada mereka dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini

BINTULU: Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM89,023,485 kepada seramai 56,895 penerima bantuan bulanan di seluruh negeri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datin Dr Zaleha Abdullah.

Katanya warga emas merupakan golongan terbanyak mendapat bantuan iaitu 22,619 orang dengan agihan perbelanjaan sebanyak RM40,784 diikuti penerima kanak-kanak seramai 14,697 dengan anggaran perbelanjaan RM19,913.

Penerima bantuan am seramai 10,083 dengan agihan perbelanjaan sebanyak RM11,428 serta golongan seterusnya diklasifikasikan sebagai layak menerima bantuan bulanan itu.

“Berdasarkan statistik dikeluarkan Seksyen Sosioekonomi dan Bantuan JKMNS, jelas menunjukkan kerajaan sememangnya amat prihatin terhadap nasib golongan memerlukan terutama orang kurang upaya (OKU) serta kurang bernasib baik,” katanya pada Program Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2014 di Masjid Jepak, Kampung Jepak di sini petang kelmarin.

Pada program itu, seramai 150 penerima layak menerima bantuan Hari Raya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Bintulu berupa wang tunai dan hamper.

Pada tahun ini, jabatan berkenaan turut menyumbang sebuah kerusi roda kepada salah seorang penerima bantuan sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik.

Bagi kawasan Bintulu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, JKM Bintulu menyalurkan perbelanjaan RM6,137 kepada 4,050 orang penerima bantuan bulanan dengan golongan tua paling ramai menerima bantuan iaitu seramai 1,315 diikuti kanak-kanak dengan jumlah 1,103 dan seterusnya penerima layak lain dalam pelbagai kategori.

Zaleha berkata, kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga diamanahkan melaksanakan dan memantau program 1AZAM bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin.

“Program 1AZAM menyediakan peluang rakyat berpendapatan rendah menjana pendapatan dan memperkasa ekonomi bertujuan menggalakkan rakyat berpendapatan rendah berdikari.

Hadir sama Temenggung Abang Suhaili Abang Mohamad.