Anak dibelasah, rumah pula musnah terbakar

0

SIBU: Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib seorang pengadu yang mengalami nasib malang selepas anaknya dibelasah, rumah sewa mereka pula terbakar malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 11 malam, pengadu, 56, telah didatangi oleh rakan anaknya yang memaklumkan bahawa anak lelaki pengadu, 20, telah cedera di bahagian kepala dan leher selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Jalan Laichee.

Difahamkan, anak pengadu telah meminta pertolongan daripada rakannya selepas dia cedera akibat dipukul dengan serpihan pasu.

Pengadu kemudian terus pergi ke rumah rakan anaknya dan mendapati anaknya mengalami luka di kepala dan leher.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapat rawatan.

Belum sempat pengadu dan mangsa pulang ke rumah, mereka dimaklumkan rumah sewa mereka yang terletak di Jalan Tiong Hua telah terbakar pada jam 2.30 pagi.

Difahamkan, api bermula dari bilik kosong di tingkat atas rumah sewa pengadu.

Menurut laporan, rumah tersebut tidak mempunyai bekalan elektrik sejak tiga bulan lepas.

Polis percaya kebakaran tersebut ada hubung kait dengan kes pergaduhan di antara anak penyewa dan sekumpulan lelaki yang berlaku beberapa jam sebelum itu.

Polis tidak menafikan kebakaran tersebut mempunyai motif khianat ekoran pergaduhan pada jam 11 malam sebelumnya.

Bagaimanapun, api telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut, manakala punca dan jumlah kerugian sedang disiasat.