Beri kepercayaan kesungguhan kerajaan selesai isu tragedi MH17

0

MIRI: Rakyat harus memberi kepercayaan terhadap kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu tragedi MH17 ketika ini seterusnya memberi rangsangan dan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata pemimpin nombor satu negara itu tidak putus semangat untuk menyelesaikan kemelut yang melanda negara lebih-lebih lagi dalam hal berkaitan keselamatan negara.

“Tragedi MH17 ini membuktikan Perdana Menteri sangat komited untuk membawa pesalah yang menembak jatuh pesawat MH17 ini ke muka pengadilan dan kita sebagai rakyat biasa, harus menyokong beliau dan kerajaan,” katanya pada Majlis Program Membantu Rakyat (MEMBARA) di Masjid Darul Hana, Lambir.

Ahmad Lai berkata, rakyat seharusnya terus bersatu padu serta memberi kepercayaan kepada kerajaan agar tragedi yang melanda negara itu dapat diselesaikan secara telus dan adil.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan projek untuk menaik taraf masjid berkenaan dan ia telah diluluskan kerajaan menerusi Perdana Menteri semasa lawatannya ke Lambir baru-baru ini.

Kerajaan kata Ahmad Lai, akan sedaya upaya memenuhi kemahuan dan kehendak rakyat agar agenda untuk meningkatkan taraf hidup rakyat direalisasikan tidak kira cepat atau lambat.