Buruan pingat emas kontinjen Malaysia bermula hari ini

0

GLASGOW: Pemburuan pingat oleh kontinjen negara bagi Sukan Komanwel di sini akan bermula secara rasmi hari ini.

Upacara perasmian temasya sukan yang melibatkan 6,500 atlet dari 71 buah negara itu akan diadakan di Celtic Park bermula pada pukul 8 malam waktu tempatan (kira-kira pukul 3 pagi waktu Malaysia).

Edisi yang ke-20 ini adalah yang ketiga dianjurkan oleh Scotland selepas dua kali diadakan di Edinburgh pada 1970 dan 1986.

Sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel sejak 1950, kontinjen negara meraih dua pingat emas di Victoria, Kanada pada 1994; 10 emas di Kuala Lumpur (1998), tujuh emas di Manchester, England (2002) dan Melbourne,  Australia (2006) serta pencapaian terbaik iaitu 12 emas, di New Delhi, India (2010).

Pada temasya kali ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan sasaran tujuh pingat emas, jauh lebih rendah daripada pencapaian di New Delhi dengan 12 pingat emas. — Bernama