Dua peniaga ditahan kerana jual mercun, bunga api

0

KUCHING: Dua peniaga ditahan polis untuk siasatan selepas mereka didapati menjual mercun serta bunga api terlarang di pusat bandar, petang kelmarin.

Tangkapan pertama dilaporkan di Lebuh India di sini apabila sekumpulan anggota dari Unit Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menyerbu sebuah gerai selepas menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan tersebut sekitar jam 3.30 petang.

Dalam serbuan tersebut, polis telah menahan seorang lelaki berusia 48 tahun selain turut merampas kesemua mercun tersebut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Pasukan yang sama kemudian melakukan satu lagi serbuan dan telah menahan seorang wanita berusia 33 tahun yang juga telah melakukan kesalahan yang sama.

Kedua-dua peniaga tersebut kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut.