Guru lapor polis, syak rumah dilontar mercun oleh pelajar

0

KUCHING: Seorang guru dari Matang Jaya, di sini tampil membuat laporan polis mengesyaki seorang daripada pelajarnya melontar mercun ke halaman rumahnya malam kelmarin.

Difahamkan, insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 8.30 malam apabila dikejutkan bunyi letupan dari luar rumahnya ketika dia sedang menonton televisyen.

“Dia kemudian segera keluar dan mendapati terdapat serpihan kertas dipercayai mercun di tempat letak keretanya namun tiada kerosakan dilaporkan,” kata sumber.

Maklumat daripada jiran guru terbabit, mereka telah melihat seorang budak lelaki berlari selepas dia dilihat melontar sesuatu ke halaman rumah guru berkenaan.

Risau akan terjadi perkara yang tidak diingini, satu laporan polis telah dibuat, di mana guru terbabit mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan oleh seorang pelajarnya yang telah dimarahi olehnya di sekolah.