Hanya sepuluh acara yang diyakini

0

Oleh Harry Ilias //

Sarawak menyasarkan 10 tempat terbaik pada SUKMA 2015 di Kuala Lumpur

KUCHING: Kontinjen Sarawak memutuskan hanya akan menyertai 10 daripada 20 acara sukan yang akan dipertandingkan pada SUKMA 2015 di Kuala Lumpur.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial Affandi Keli berkata acara yang akan disertai adalah lawan pedang, muaythai, futsal wanita, judo, kayak, kriket, bina badan, bola tampar pantai (lelaki dan wanita), kabaddi dan bola baling.

Manakala acara yang tidak disertai akuatik, ping pong, bola keranjang, basikal trek, bola lisut, woodball, ekuestrian, silambam, ragbi dan bola jaring.

“Kita telah memutuskan untuk menyertai hanya 10 acara yang diyakini mampu menyumbang pingat pada SUKMA 2015.

“Sehubungan itu saya menggesa persatuan sukan terbabit agar memulakan latihan bermula dari sekarang,” jelas Affandi semasa mempengerusikan mesyuarat persediaan kontinjen SUKMA Sarawak semalam.

Hadir sama Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Lucas Kalang Laeng, Penolong Pengarah Abdul Muktalib Mohamad, koordinator dan wakil persatuan sukan.

“Bagaimanapun, saya menegaskan jumlah pasukan yang terlibat mungkin akan dikurangkan jika pencapaian semasa atlet mereka kurang memberangsangkan.”

Affandi juga menegaskan kepada persatuan sukan yang terlibat agar menghantar laporan mengenai prestasi semasa atlet mereka sebelum berakhir Oktober.

Tambahnya, ia bagi memudahkan mereka mengenalpasti pasukan yang mampu dan tidak mampu menyumbang pingat emas.

“Saya mahu persatuan sukan yang terlibat agar bersikap jujur dengan melaporkan kepada kita jika mereka tidak dapat menyediakan atlet yang benar-benar berpotensi.

“Ini kerana kita mensasarkan kedudukan 10 pasukan terbaik dan hanya mahukan pasukan yang benar-benar dapat menyumbang emas dihantar kali ini.”

SUKMA 2015 dijangka diadakan pada bulan Mei di Kuala Lumpur.

Pada SUKMA 2013, Sarawak menduduki tangga ke-11  setelah meraih empat emas, sembilan perak dan lima gangsa.