Jambatan konkrit ganti jambatan kayu hadiah kerajaan BN

0

SIBU: Pembinaan jambatan konkrit menggantikan jambatan kayu merentasi Sungai Bawang Assan dengan kos RM6.7 juta adalah hadiah kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada penduduk di situ.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling berkata projek itu merupakan hadiah kepada penduduk terutama pengundi-pengundi yang sentiasa memberi sokongan padu kepada calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Pada pilihan raya lalu, saya tahu dan wakil rakyat di sini juga tahu sokongan pengundi di sini amatlah menggalakkan.

“Kita berasa kagum dan penduduk atau pengundi di Bawang Assan sehingga ke Sungai Melanggan tidak kurang 78 peratus menyokong calon BN,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Jambatan Bawang Assan di sini.

Majlis pecah tanah dilakukan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Christopher Thomas, Timbalan Residen Sibu Sapiah Daud, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu Tiong King Wei, Pemanca Stanley Gramong, Penghulu James Semilan serta yang lain.

Jambatan konkrit sepanjang 60.3 meter itu mengambil masa 21 bulan disiapkan dibina bagi menggantikan jambatan kayu di situ yang wujud lebih kurang 60 tahun lalu.

Andrew juga yakin bahawa sokongan pengundi kepada wakil rakyat di situ pada PRN akan datang akan bertambah peratusannya.

“Ini penting agar wakil rakyat kita (Wong) akan menambah inisiatif dan lebih bekerja keras untuk membangunkan kawasan Bawang Assan dan sekitar,” jelasnya yang juga percaya pengundi kini lebih bijak memilih antara intan dan kaca.

Andrew turut menepis dakwaan sesetengah pihak menerusi laman sosial seperti Facebook mengatakan kerajaan tidak melakukan apa-apa bagi menggantikan jambatan kayu yang telah uzur itu.