Kes denggi di Sarawak meningkat tahun ini

0

Oleh Sandy Mark Luna //

859 kes dalam tempoh Januari-19 Julai tahun ini berbanding 850 kes pada tempoh sama tahun lepas

PERANGI DENGGI: Wong menunjukkan poster Kempen 10 Minit Cegah Denggi Hapuskan Aedes. Turut kelihatan Dr Zulkifli (kanan). — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak mencatat 859 kes denggi dalam tempoh Januari hingga 19 Julai tahun ini berbanding 850 kes pada tempoh sama tahun lepas, sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 1.1 peratus.

Sambil menyifatkan kes itu yang mengakibatkan dua kematian masing-masing di Serian dan bandar raya ini masih membimbangkan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata, kes terbanyak dicatatkan adalah di Sibu dengan 308 kes, diikuti Miri (98), Kuching (79), Daro (56), Betong (36) dan Bintulu (35).

Manakala Kapit dan Saratok masing-masing merekodkan 31 kes, Belaga (22), Limbang (16), Sarikei (15), Tatau (14), Sri Aman (13), Pakan (13), Simunjan dan Marudi (10) manakala daerah-daerah lain kurang daripada 10 kes.

“Justeru, kami akan melancarkan Kempen 10 Minit Cegah Denggi Hapuskan Aedes di seluruh negeri dengan penekanan diberi kepada Sibu, di mana masyarakat perlu memberi kerjasama jika mahu melindungi diri dan keluarga daripada ancaman denggi.

“Dalam kempen tersebut, orang ramai perlu meluangkan masa hanya selama 10 minit setiap minggu untuk membersihkan kediaman masing-masing bagi memastikan ia bebas daripada nyamuk aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Datu Dr Zulkifli Jantan di pejabatnya di Baitulmakmur di Petra Jaya di sini, semalam.

Mengulas lanjut tentang wabak denggi, Wong berkata setakat 23 Julai lalu terdapat 20 lokasi wabak masih aktif di seluruh negeri di mana Sibu melaporkan 14 kawasan wabak aktif, dua di Kapit manakala Serian, Betong dan Kuching masing-masing satu kawasan.

Justeru katanya, kempen perangi denggi akan diperkasakan di Bukit Assek di Sibu, yang merupakan kawasan dipercayai menyumbang kepada statistik tinggi tersebut.

Katanya rata-rata rumah di kawasan berkenaan adalah rumah sewa yang tidak terurus persekitarannya.

Faktor lain yang menyebabkan kes denggi tinggi di negeri ini katanya, adalah berkemungkinan disebarkan dari orang yang baharu balik dari ibu negara khasnya di kawasan Selangor.

Wong turut memberitahu, sebanyak 55,507 telah menjalani pemeriksaan di Jabatan Kesihatan Negeri dan pihak berkuasa tempatan dan daripada angka tersebut, didapati sebanyak 822 premis didapati positif pembiakan aedes.

Dalam penguatkuasaan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 katanya, sebanyak 83 kompaun bernilai RM44,000 dan 263 notis telah dikeluarkan.

Daripada jumlah tersebut, 81 kompaun dengan nilai RM31,330 telah dibayar.

Wong menasihati orang ramai agar menghapuskan tempat pembiakan iaitu meluangkan masa mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes, sekali gus menghentikan kitaran berbahaya nyamuk itu.