Makmal percepat pengambilan anak angkat dicadang

0

KUCHING: Sebuah makmal dicadang untuk diwujudkan bagi membolehkan proses mengambilan anak pelihara dan anak angkat dipercepatkan.

Sambil memberitahu permohonan akan dibuat dalam masa terdekat, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata makmal itu akan mewujudkan Aktiviti Fokus Utama (FKA) dan prosedur operasi standard (SOP) bagi agensi-agensi berkaitan yang terlibat.

“Kita telah membincangkan garis panduan. Tetapi sekiranya berlaku pertukaran pegawai, contohnya daripada Jabatan Kebajikan atau polis, orang yang baharu itu nanti mungkin tidak faham atau tidak biasa dengan tugas-tugas yang perlu dijalankan.

“Sebab itu kita perlu menjalankan makmal ini bagi melahirkan KFA dan SOP dalam mempercepatkan proses pengambilan anak pelihara dan anak angkat, agar ada satu garis panduan dapat diguna pakai tanpa mengira perubahan pegawai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bermesyuarat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) di pejabatnya, di Baitulmakmur, Petra Jaya di sini, semalam.

Fatimah berkata, dalam proses pengambilan anak angkat lebih-lebih lagi bayi terbuang, pihak polis perlu menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ibu bapa kandung bayi tersebut.

Siasatan itu katanya, akan mengambil masa yang lama namun JKM kini menulis surat rasmi kepada PDRM, di mana pihak polis akan mengemukakan permohonan kepada Peguam Kanan Persekutuan untuk memberi kebenaran agar anak itu dijadikan anak pelihara.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar proses mengambil anak pelihara diputuskan JKM Negeri sepenuhnya, tanpa memerlukan kelulusan daripada peringkat persekutuan.

Jelasnya buat masa sekarang, selepas Jawatankuasa Panel Jabatan Kebajikan memilih ibu bapa yang sesuai memelihara anak, ia perlu mendapat pengesahan daripada Ibu Pejabat JKM di Kuala Lumpur dan proses itu memakan masa yang lama.

“Ini sebenarnya soal pentadbiran dan saya rasa tidak ada masalah jika kuasa itu diberikan kepada JKM Negeri sepenuhnya.

“Kita akan menulis surat kepada Jabatan Kebajikan di peringkat persekutuan untuk memperkasakan Jabatan Kebajikan Negeri dalam membuat keputusan siapa yang patut menjadi ibu bapa pelihara,” katanya.

Hanya selepas itu ibu bapa dibenarkan untuk memohon menjadi ibu bapa angkat di Pejabat Daerah katanya, di mana proses itu mengambil masa kurang daripada seminggu jika dokumen-dokumen diterima adalah mencukupi.

Katanya sebanyak 239 permohonan untuk menjadi ibu bapa angkat diterima pada tahun lepas tetapi enam daripadanya tidak diluluskan disebabkan kewarganegaraan anak itu belum ditentukan atau dalam erti kata lain, bayi atau ibu kandung tidak mempunyai sijil lahir.

Manakala tahun ini, setakat Jun pihaknya telah menerima 135 permohonan menjadi ibu bapa angkat, tambahnya.

Mengulas mengenai wanita hamil luar nikah lebih-lebih lagi di pusat perlindungan Taman Sri Puteri, Fatimah melahirkan kesyukuran kerana rata-rata keluarga mereka menerima dan menjaga bayi itu selepas lahir.

“Meskipun (ibu bapa) marah apabila anak mereka mengandung luar nikah, tetapi apabila bayi itu keluar nanti, mereka bersedia menjaga dan membawanya pulang.

“Boleh saya katakan sistem sokongan di Sarawak ini amat baik kerana nisbah yang menjaga bayi dan memberi bayi itu untuk dijadikan anak angkat adalah empat daripada lima kes sahaja,” katanya.