Penduduk Sibu harus serius perangi denggi

0

SIBU: Penduduk Sibu harus lebih serius melakukan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dalam usaha memerangi wabak denggi yang semakin membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Alam Sekitar dan Perkhidmatan Perbandaran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Rhoda Ting berkata, wabak denggi di Sibu dilaporkan berlaku pada tahun 1989, 1994, 1998 dan 2010.

“Wabak denggi serius dilaporkan pada tahun 2010 dengan tujuh kematian dicatatkan dan ratusan kes denggi juga direkodkan,” jelasnya pada Mesyuarat Bulanan Penuh MPS, semalam.

Katanya wabak denggi di Sibu direkodkan kritikal di Zon 7, 6 dan 5 dan tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan Sibu bebas daripada wabak denggi.

“Ini dapat dilakukan dengan program gotong-royong bersama penduduk di kawasan terlibat, memastikan kontraktor mengutip sampah di luar kawasan tong sampah dan memusnahkan kawasan pembiakan nyamuk,” ujarnya.

Tambah Ting, Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu juga menjalankan kerja-kerja penyemburan kabus (fogging) dan pemeriksaan harian di kawasan wabak denggi.

“Cabaran utama MPS adalah untuk memusnahkan semua tempat pembiakan nyamuk. Kita telah berjumpa dengan penduduk dan memohon kerjasama mereka bersama-sama mengambil langkah pencegahan dan kawalan,” jelasnya.

Katanya sebanyak 276 kes denggi dicatatkan berlaku bermula Januari hingga 16 Julai lepas, berbanding 95 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas dan menunjukkan peningkatan sebanyak 181 kes.

“Kes denggi paling serius dilaporkan di kawasan Zon 7 dengan 75 kes tahun ini berbanding 33 kes pada tahun lepas di Lorong Jalan Oya, Jalan Lai Chee, Jalan Hua Kiew, Jalan Pigeon, Jalan Geronggang, Nanyang Garden dan Jalan Hardin,” tambahnya.

Ting berkata, Rejang Park di Zon 14 mencatat sebanyak 63 kes, diikuti Zon 5 merangkumi Jalan Tong Sang dengan 18 kes, Zon 6 (kawasan pusat bandar) meliputi Jalan Tuanku Osman, Jalan Blacksmith, Jalan Mission dan Pasar Sentral dengan 23 kes.

“Tiga kawasan panas wabak denggi dikenal pasti di Zon 7 termasuk Jalan Oya, Jalan Hua Kiew dan Jalan Pigeon. Sementara itu, 11 kawasan adalah kawasan wabak denggi terkawal setakat ini,” katanya.

Mesyuarat Bulanan Penuh MPS telah dipengerusikan oleh Pengerusinya Datuk Tiong Thai King di bilik mesyuarat MPS. Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Datuk Andrew Wong dan Setiausaha Hii Chang Kee.