Piala Residen kembali gegar Samarahan

0

KUCHING: Kejohanan berprestij Piala Residen Samarahan 2014 kembali memeriahkan arena bola sepak tempatan dan akan diadakan dari 23-24 Ogos depan di Stadium Mini Samarahan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) Haidel Heli berkata edisi ke-3 kejohanan itu akan disertai sebanyak tujuh pasukan yang berentap dalam saingan Liga Samarahan 2014 iaitu Sambir Bistari, Team Kickalob K2015, Yayasan Sarawak – Sanjung Etika, Ocean Eagle FC Samarahan, Kapaku FC, Logistic FC dan Gedong FC.

“Kejohanan ini telah bermula sejak 2011 dan ia merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan PBBS dalam usaha merancakkan program pembangunan bola sepak di bahagian Samarahan,” katanya semasa majlis penyerahan piala pusingan kejohanan bertempat di Pejabat Residen Samarahan semalam.

“Ia hanya dibuka kepada pasukan yang bersaing dalam Liga Samarahan 2014 kerana kita mahu pemain yang terlibat terus bermain untuk mengasahkan lagi kemahiran mereka.”

Menurut Haidel, selain daripada Piala Residen, PBBS turut menganjurkan tiga lagi kejohanan bola sepak sepanjang tahun iaitu Piala Sumbangsih, Liga Samarahan dan Piala FA LEA.

“Samarahan telah melahi rkan r ama i pema i n bola sepak berbakat yang mewakili Sarawak dalam kejohanan seperti Piala Presiden dan sebagainya.

“Sehubungan itu, PBBS akan memastikan kejohanan- kejohanan ini dianjurkan setiap tahun dengan harapan Samarahan tidak ketandusan pemain berkaliber di masa akan datang,” tambahnya.

Terdahulu, Haidel merakamkan penghargaan kepada Residen Bahagian Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi di atas sokongannya bagi menjayakan edisi kali ini.

“Terima kasih kepada pihak Pejabat Residen Bahagian Samarahan kerana sudi menghulurkan sokongan bagi memeriahkan kejohanan ini,” katanya.