Polis Papar rampas mercun dan rokok bernilai RM35 ribu

0

Oleh Kenneddy Corlleus //

 

GEORGE menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Papar.

PAPAR: Polis menahan tiga individu dan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api termasuk rokok seludup bernilai RM35,000 dalam satu serbuan di sebuah kedai runcit di Pekan Bongawan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintenden George Abdul Rakman berkata, tiga individu terbabit iaitu dua lelaki dan seorang wanita, dipercayai menjual barangan terlarang berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau tujuh tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menjual rokok seludup, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh denda 10 kali ganda daripada jumlah cukai dan tidak lebih 20 kali ganda nilai cukai atau penjara 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, George turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menjual mercun dan bunga api berbahaya kepada orang ramai termasuk mengedar barangan yang tidak diisytihar cukai kastam.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti berkaitan penjualan bahan terlarang di kawasan sekitar dan kejiranan mereka boleh memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.