Program solat mampu kukuhkan silaturahim kaum Melanau: Len

0

Oleh Hamimi Kassim //

SOLAT BERJEMAAH: Len melakukan solat Isyak dan Tarawih berjemaah bersama ahli-ahli PMK.

PROGRAM solat Isyak dan Tarawih berjemaah sempena Ramadan al-Mubarak anjuran Persatuan Melanau Kuching (PMK) dilihat mampu menjadi landasan buat generasi tua dan muda Melanau untuk saling mengukuhkan silaturahim.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Latihan Teknikal) yang juga Menteri Muda Perancangan dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, jaringan pengukuhan hubungan dapat dilihat daripada kerjasama yang dilakukan dalam menjayakan program itu.

Malah, kehadiran generasi muda Melanau yang dilihat semakin bertambah setiap tahun terutamanya yang berada di negeri ini dilihat merupakan perkembangan positf terhadap persatuan.

“Tahniah kepada PMK kerana berjaya menganjurkan program yang sungguh bermanfaat ini.

“Diharapkan perjumpaan seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dan bukan sahaja pada bulan Ramadan kerana ia dapat mengeratkan silaturahim sesama kita (kaum Melanau) yang bermastautin di Kuching ini khasnya generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap setelah selesai menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Wisma Melanau di Kuching, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada enam ahli PMK yang telah banyak membantu persatuan sejak penubuhannya.

Justeru, Len yang juga Penasihat PMK berharap agar sumbangan itu dapat meringankan beban ahli yang kurang bernasib baik dalam menyambut Aidilfitri yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Presiden PMK Datuk Aidan Wing serta kira-kira 100 ahli persatuan.

RINGANKAN BEBAN: Len dibantu Aidan menyerahkan sumbangan raya kepada salah seorang ahli PMK selepas solat Isyak dan Tarawih berjemaah di Wisma Melanau di Kuching, baru-baru ini.