Ragbi: SDRU buru gelaran ke-17

0

SIBU: Juara bertahan, Kesatuan Ragbi Bahagian Sibu (SDRU) kini dalam usaha memburu gelaran ke-17 Piala Presiden Kesatuan Ragbi Sarawak.

Kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung selama dua hari iaitu dari 16 hingga 17 Ogos depan di padang sukan ragbi SMK Sacred.

Ketua Jurulatih SDRU Michael Ting berkata, pihaknya sedang berusaha keras dalam usaha mengekalkan kejuaraan.

“Ia adalah satu ‘peperangan’ yang sukar tetapi ia bukan satu tugas yang tidak dapat diatasi demi mempertahankan kejuaraan.

“Justeru pemain perlu membuat persiapan awal untuk mengekalkan momentum sebelum bermulanya kejohanan,” katanya ketika dihubungi.

Ting berkata, empat pasukan akan mengambil bahagian dalam kejohanan dua hari tersebut, iaitu Kesatuan Bola Sepak Ragbi Kuching (KRFU), SHOAW Old Boys dari Kuching, Kesatuan Ragbi Bahagian Miri (MDRU) dan SDRU.

MDRU akan mewakili Zon Utara, KRFU dan SHOAW Old Boys (Zon Selatan) dan SDRU (Zon Tengah).

Daripada tiga pasukan berkenaan, Ting melihat KRFU sebagai pencabar utama berikutan kehadiran beberapa pemain asing yang dijangka memberikan ancaman besar kepada pasukan lain.

“Kedua-dua Old Boys SHOAW dan MDRU juga tidak datang hanya untuk nombor. Mereka juga menginginkan kejuaraan kejohanan tersebut,” kata beliau sambil menambah SDRU tidak mengambil mudah dalam semua perkara.

Ting berkata, mereka sekali lagi akan bergantung kepada pemain import dari Fiji, Iowane Sovatabua Taukeisalili berusia 26 tahun.

Iowane, sebelum ini pernah bergandingan dengan tiga pemain import dari Fiji sebelum khidmat mereka ditamatkan.

Walau bagaimanapun, Ting percaya pemainnya masih berkeupayaan untuk menjadi juara.