Real perkenal ‘senjata’ baharu

0

Juara Eropah itu dikatakan bayar 80 juta euro kepada Monaco untuk dapatkan Rodriguez

MADRID, Sepanyol: Pemain Colombia yang paling menyerlah di Piala Dunia 2014, James Rodriguez, diperkenalkan sebagai pemain baharu Real Madrid di hadapan puluhan ribu penyokong di Santiago Bernabeu Selasa lepas.

Rodriguez, penjaring terbanyak Piala Dunia di Brazil, berpindah ke kelab juara Eropah itu dari Monaco untuk kontrak enam musim.

Media Sepanyol berkata Real membayar 80 juta euro untuk pemain berusia 23 tahun itu, dan jika ia benar, ia menjadikan beliau pemain kelima paling mahal dalam sejarah bola sepak dunia selepas Gareth Bale, Cristiano Ronaldo, Neymar dan Luis Suarez.

“Saya berasa sangat tertekan untuk berada di sini tetapi saya bersedia mengharunginya,” kata beliau, yang kelihatan tenang dan ter senyum girang ketika memakai jersi nombor 10 – yang digunakan oleh Mesut Ozil sebelum ini.

“Sasaran saya di sini ialah untuk sentiasa menang. Saya tidak suka kekalahan,” tambah beliau.

“Saya teruja untuk berada di sini, ia impian menjadi kenyataan, saya berharap untuk memberikan banyak kegembiraan kepada kelab dan penyokong,” kata beliau ketika memberitahu sekitar 40,000 penyokong, termasuk sejumlah penyokong dari Colombia.

“Saya fikir Colombia akan menjadi peminat kelab hebat ini,” tambah beliau.

Kedua-dua kelab tidak mendedahkan jumlah yuran perpindahan tetapi Monaco menggambarkan ia sebagai “salah satu perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak”.

Akhbar sukan harian Sepanyol, Marca, yang mempunyai kerjasama yang baik dengan lembaga pengarah kelab Real Madrid, berkata Real akan membayar 75 juta euro dengan serta-merta dan sehingga lima juta euro lagi dalam bentuk tambah nilai.

Monaco membayar FC Porto dari Portugal sebanyak 45 juta untuk mendapatkan Rodriguez.

Monaco berkata dalam satu kenyataan di mana ia tidak mahu menjual Rodriguez tetapi ia berasa “bangga untuk melaksanakan salah satu perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak”.

Enam gol Rodriguez di Piala Dunia membolehkannya memenangi anugerah Bola Emas.

Gol cantik ketika menentang Uruguay disenaraikan sebagai salah satu gol terbaik Piala Dunia.

Rodriguez merupakan pembelian kedua Real dalam tempoh lima hari ketika mereka membuat persediaan untuk musim baharu dan saingan dari musuh ketat, Barcelona.

Pemain tengah antarabangsa Jerman, Toni Kroos, berpindah dari Bayern Munich Khamis lepas, beberapa hari selepas membantu Jerman muncul Piala Dunia.

Real juga dikaitkan dengan perpindahan untuk Keylor Navas, penjaga gol Costa Rica yang membantu pasukannya melangkah ke suku akhir Piala Dunia.

Navas ketika ini bermain untuk kelab La Liga Sepanyol, Levante.

Rodriguez hanya berada di Monaco untuk satu tahun tetapi aksi luar biasa beliau di Piala Dunia menjadikan beliau salah seorang pemain buruan utama di Eropah.

Dalam tinjauan FIFA.com yang dikeluarkan Isnin lepas, rembatan gol ketika menewaskan Uruguay di pusingan kedua diisytiharkan sebagai gol Piala Dunia oleh lebih dari empat juta pengundi.

Rodriguez ke Piala Dunia 2014 sebagai penyerang kedua Colombia.

Tetapi dengan Radamel Falcao, penyerang utama Colombia, mengalami kecederaan pada bulan Januari, menyebabkan Rodriguez menggalas tugas utama di jentera serangan Monaco dan di Piala Dunia, beliau membantu Colombia melangkah ke pusingan kedua kejohanan buat kali kedua dalam sejarah negara itu.

Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez membandingkan Rodriguez dengan bintang legenda Argentina, Diego Maradona dan juga kapten Argentina, Lionel Messi, sebagai “pemain yang berjaya melakukan sesuatu kerana mereka adalah pemain istimewa”.

Rodriguez sudah lama menyatakan hasrat untuk berpindah ke liga Sepanyol.

“Liga Sepanyol adalah liga yang saya sentiasa tonton – ia berbeza dari Liga Inggeris, yang mementingkan permainan fizikal,” kata beliau.

“Permainan di Sepanyol lebih tentang teknik, dan menyentuh bola dengan lebih banyak. Kerana itu saya lebih sukakan liga Sepanyol.”

Rodriguez memulakan kerjayanya pada usia 16 tahun bersama kelab divisyen dua Colombia, Enviagado FC dan membina reputasi dalam masa yang singkat.

Pada 2008, beliau dibeli oleh kelab dari Argentina, Atletico Banfield, di mana beliau dikenali sebagai “James Bond dari Banfield” selepas menjaringkan gol cantik pada Februari 2010.

Beliau berpindah ke FC Porto di mana beberapa lagi gol cantik dijaringkan dan memenangi tiga kejuaraan liga dalam tempoh tiga musim.

Monaco membelinya pada Mei 2013. — AFP