Anak yatim dari Gombak ditipu individu janji sumbangan duit raya di Johor

0

JOHOR BAHARU: Sebanyak 75 anak yatim dan fakir miskin dari Gombak, diperdaya seorang individu yang menjanjikan sumbangan duit raya, majlis berbuka puasa dan tempat tinggal di sebuah hotel di Johor Baharu, di sini malam kelmarin.

Mereka yang ditemani lapan pengasuh itu dihubungi seorang lelaki berbangsa Melayu dengan nama Faiz pada Isnin (21 Julai) mengatakan pihak hotel akan memberi sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin itu.

Seorang daripada pengasuh, Normala Baharim, 27, berkata setibanya mereka di hotel itu pada jam 3 petang kelmarin (23 Julai) mendapati tiada sebarang majlis diadakan seperti yang dijanjikan individu itu.

“Saya terkejut apabila mendengar penjelasan seorang kakitangan hotel ini bahawa tiada sebarang majlis sumbangan Hari Raya untuk anak yatim di hotel ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Normala berkata individu terbabit telah berjanji akan menanggung segala perbelanjaan termasuk pengangkutan dua buah bas yang mereka naiki daripada Gombak, Selangor ke Johor Baharu, dan akan membayar terus selepas mereka tiba di hotel berkenaan.

Bagaimanapun, pihak hotel, atas dasar belas ihsan telah memberikan 30 bilik penginapan, juadah berbuka puasa dan sahur kepada mereka, membayar sewa bas serta membantu membawa pengasuhnya untuk membuat laporan polis di Balai Polis Taman Pelangi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh mengesahkan laporan polis tersebut dan pihaknya akan melakukan siasatan selanjutnya.

“Peringkat awal siasatan ini akan dilakukan oleh kami, manakala siasatan mendalam akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak bagi mengesan individu yang tidak bertanggungjawab itu,” kata beliau.

Sulaiman berkata kes penipuan seumpama itu tidak sepatutnya berlaku terhadap anak yatim dan fakir miskin yang berusia 5 hingga 18 tahun itu, dengan menjanjikan pelbagai pemberian yang lumayan khususnya di bulan mulia ini.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak hotel kerana sudi membantu anak yatim dan fakir miskin itu ketika mereka ditimpa musibah.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada individu yang tidak dikenali melalui telefon, yang menjanjikan pelbagai sumbangan dan hadiah, bagi mengelakkan menjadi mangsa keadaan. — Bernama