Beg udara elak maut

0

BETONG: Beg udara menjadi penyelamat seorang lelaki daripada maut apabila kereta jenis Perodua Viva yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Simpang Betong di sini, semalam.

Menurut saksi, mangsa yang berasal dari Serembang, Spaoh dalam perjalanan dari Betong ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) untuk mengambil anaknya.

Ketika melewati satu selekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan ke atas keretanya dan melanggar batu tanda SESCo sebelum menghentam pokok, berputar lalu terbalik.

Kejadian pada kira-kira jam 11.45 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada.

Kata saksi lagi, mangsa yang memandu sendirian hilang kawalan ke atas keretanya dipercayai kerana mengantuk.

“Kami kebetulan melalui jalan tersebut untuk ke Betong ketika kemalangan itu.

“Mangsa keluar melalui tingkap yang berjaya dipecahkannya dan kelihatan menahan dadanya. Kami terus membawa mangsa ke hospital yang hanya terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

“Nasib baik kereta mangsa tidak terjunam ke dalam parit, kalau tidak mungkin perkara yang lebih teruk berlaku. Nasib juga pokok jadi penahan dan dapat menghalang keretanya dari tergelincir ke dalam parit,” jelasnya.

Polis turut dihubungi untuk melakukan siasatan berhubung kemalangan tersebut.