LSS pertingkat penguatkuasaan di sungai utama

0

BANTU: Seorang pegawai Jabatan Laut membantu seorang kanak-kanak untuk masuk ke dalam bot ekspres yang menuju ke Daro di Terminal Penumpang Sibu, semalam.

Langkah diambil pastikan juragan bot patuhi peraturan, tidak membawa penumpang berlebihan

Oleh Reno Benjamin //

SIBU: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) kini meningkatkan aspek penguatkuasaan di sungai-sungai utama di negeri ini dalam usaha membanteras pengangkutan sungai membawa penumpang berlebihan ketika orang ramai hendak balik kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi LSS Murni Suhaili berkata, langkah itu bagi memastikan juragan bot mematuhi peraturan serta tidak membawa penumpang berlebihan yang boleh membahayakan nyawa semua penumpang.

Katanya, sekatan sungai akan dilakukan di lokasi strategik di sepanjang Batang Rajang, Batang Igan, Batang Kemena dan sungai-sungai utama di negeri ini.

“Pada masa sama, penumpang juga harus memainkan peranan dengan tidak menaiki bot ekspres yang telah sarat dengan penumpang. Aspek keselamatan harus diberi keutamaan oleh semua pihak pada setiap masa,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro itu menjangkakan berlaku sedikit kesesakan bagi pengangkutan sungai untuk sektor Sibu-Daro dan Sibu-Dalat dalam masa beberapa hari lagi.

Ini kerana, katanya, masih ramai yang menggunakan pengangkutan sungai bagi laluan tersebut, lebih-lebih lagi untuk balik ke kampung menjelang Hari Raya minggu depan.

Meskipun jumlah penumpang tidak seramai berbanding sambutan Gawai Dayak, Murni memberitahu terminal akan menjadi sedikit sesak dengan penumpang yang hendak balik kampung.

“Kita akan menguat kuasa polisi ‘No Ticket, No Entry’ bagi mengawal keadaan di terminal,” ujarnya sambil menambah penumpang bot juga perlu mendaftar nama di kaunter yang disediakan.

LSS menjalankan operasi yang bermula 21 Julai lepas hingga 27 Julai ini, diikuti fasa kedua operasi dari 1 hingga 3 Ogos depan.

Tinjauan di Dermaga Kapit semalam mendapati keadaan masih lengang dengan penumpang yang hendak balik kampung.

Namun, keadaan dijangka berubah pada Sabtu dan Ahad ini apabila cuti sekolah bermula dan ramai yang mula hendak balik ke kampung masing-masing.

Pegawai Jabatan Laut dan Polis Marin juga kelihatan memantau keadaan di terminal bot ekspres, yang turut memeriksa lesen pengangkutan sungai, aspek keselamatan bot serta jaket keselamatan.