Majlis pembukaan Sukan Komanwel Ke-20 beri penghormatan kepada mangsa pesawat MH17

0

 

GLASGOW, Scotland: Ma­jlis Pembukaan Rasmi Sukan Komanwel Edisi Ke-20 diad­akan dengan penuh gemilang di Taman Celtic, pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia) yang turut dihadiri 40,000 penonton.

Penonton mula membanjiri Stadium Celtic seawal jam 5.00 petang Rabu waktu tempatan (12.00 tengah malam waktu Malaysia).

Ratu Elizabeth II merasmi­kan majlis pembukaan sukan itu dan membaca mesej yang tersimpan di dalam baton Queen yang telah diarakkan di 70 negara Komanwel sejak sembilan bulan lepas.

Ratu Elizabeth II dalam ucapan baginda menggesa mereka yang hadir untuk “bersatu” dalam waktu yang sukar sekarang dan bertafakur selama seminit bagi memper­ingati mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Pen­erbangan MH17.

Untuk rekod, 82 daripada 298 penumpang dan kru yang terkorban dalam insiden itu adalah dari negara-negara Komanwel.

Pembawa bendera kontin­jen Malaysia, Fatehah Mus­tafa, menaikkan Jalur Gemi­lang separuh tiang manakala anggota kontinjen memakai lilitan lengan hitam pada tan­gan kiri.

Tujuh atlet – Ju Pha Som Net (berbasikal), Surizan Awang Noh dan Fatin Syafiqah Mohd Sukri (hoki wanita), Nur Fid­rah Noh dan Fairoz Abd Jabal (boling padang) dan Farizal Ismail (ragbi) dan dua pega­wai, pengurus pasukan ragbi, Mohamad Fahmy Abdul Jalil dan atase media Malay­sia, Fahmi Omar, berpakaian seragam kru kabin MAS se­bagai penghormatan kepada mangsa-mangsa nahas.

Anggota kontinjen lain berpakaian baharu ‘Wira Malaysia’, baju kurung dan selendang bagi atlet wanita dan baju Melayu serta samp­ing bagi atlet lelaki yang direka pereka fesyen terkenal Malay­sia, Melinda Looi.

Untuk edisi kali ini, kontin­jen Malaysia terdiri daripada 269 atlet dan pegawai.

Daripada sejumlah 179 at­let, 135 merupakan atlet elit, lima atlet sokongan, 30 atlet bukan program Majlis Sukan Negara dan sembilan atlet Paralimpik.

Kejohanan selama 11 hari itu akan mempertandingkan 17 acara sukan membabitkan lebih 6,000 atlet dari 71 ne­gara sekali gus menjadikan­nya acara sukan terbesar yang pernah dianjurkan oleh Scotland.

Scotland pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1970 dan 1986 di Edin­burgh. — Bernama