Ops Bantu IX dilancar sempena Aidilfitri

0

KOTA KINABALU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah menyenaraikan 10 ‘lokasi hitam’ dalam Ops Bantu IX bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Pengarah JPAM negeri Leftenan Kolonel (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, seperti pelaksanaan operasi terdahulu, Ops Bantu yang memasuki edisi ke-10 itu bertujuan memberi pertolongan kepada orang awam terutamanya kepada pengguna jalan raya.

Ops Bantu IX akan dibahagi kepada dua fasa iaitu 24 hingga 27 Julai manakala bagi fasa kedua adalah 30 Julai hingga 3 Ogos dengan tempoh pelaksanaan sembilan hari (8 pagi hingga 12 tengahari).

“Antara daerah yang terlibat dalam lokasi black spot atau lokasi hitam kali ini adalah Kota Kinabalu, Tuaran, Tongod, Keningau, Pitas, Beaufort, Kota Marudu, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

“Seramai 286 anggota JPAM akan terlibat dengan Ops Bantu di seluruh negeri bersempena musim perayaan Aidilfitri nanti,” katanya di sini kelmarin.

Sepuluh laluan lokasi hitam adalah Jalan Kota Kinabalu-Tuaran, Jalan Putatan-Papar, Jalan Batu 7-Checkpoint 32, Persimpangan Checkpoint Batu 32-Kinabatangan, Jalan Tawau-Semporna, Jalan Lahad Datu-Persimpangan Semporna, Jalan Kota Marudu-Kudat, Jalan Langkon-Kota Belud, Jalan Beaufort-Membakut, Jalan Pitas-Tandek, Jalan Keningau-Tambunan, Tongod-Simpang Sapi Nangoh dan Tuaran-Tenghilan.

Mulliadi berkata, pada Ops Bantu VII bersempena Aidifitri 2013 dahulu, JPAM mencatatkan seramai 39 mangsa termasuk dua kes kemalangan maut.

“Ini adalah usaha murni pihak JPAM bagi memastikan orang awam terutamanya pengguna jalan raya dalam keadaan selesa serta dapat meneruskan perjalanan dengan lancar dan selamat ke destinasi dituju bersama keluarga di musim perayaan Aidilfitri.

“Dalam pada itu, kita juga berhasrat dapat membantu pihak PDRM dan JKJR sebagai salah satu usaha menyokong Ops Selamat yang dilancarkan pada tempoh hari untuk mengurangkan kadar kemalangan dan meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau menghadapi kecemasan boleh menghubungi talian 088-232440/232453 (Kota Kinabalu), 088-787991 (Tuaran), 089-672586 (Sandakan), 089-749046 (Tawau), 089-880991 (Lahad Datu), 088-661655 (Kota Marudu), 087-211148 (Beaufort), 088-615655 (Pitas) dan 087-339161 (Keningau) atau 999.