Polis kenal pasti suspek kes tembak

0

Identiti dua individu diketahui, polis perlu masa melakukan tangkapan

Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Polis Miri telah mengenal pasti identiti dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes tembak seorang pemilik pusat hiburan di Kampung Lusut di sini, malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee berkata, identiti kedua-dua suspek terbabit telah dikenali pasti dan hanya menunggu masa untuk memberkas mereka.

“Kita telah mengenal pasti identiti individu terlibat yang dipercayai terdiri dari­pada dua orang. Namun beri kami masa untuk menangkap kedua-duanya,” katanya.

Beliau memberitahu demi­kian pada sidang media yang diadakan di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini petang semalam.

Dalam pada itu, Gan mend­edahkan bahawa mangsa tembak, Chiong Siong Yu, 45, adalah ahli kongsi gelap yang menjalankan perniagaan pusat karaoke.

“Hasil risikan polis, menda­pati si mati ada terlibat dalam kes dadah dan pernah cuba ditembak ketika berada di kawasan pusat bandar di sini pada tahun lalu. Namun tem­bakan yang dilepaskan tidak mengena si mati,” katanya.

Ketika ditanya sama ada suspek yang menembak mati mangsa dalam kejadian di Kampung Lusut pada malam Selasa lalu adalah dari kumpu­lan sama yang cuba menem­baknya tahun lalu, beliau memberitahu tidak pasti dan polis masih menjalankan sia­satan lanjut.

Sementara itu, menurut beliau, lokasi kejadian yang merupakan tempat persem­bunyian aktiviti sabung ayam haram dan perjudian dibuka sekali-sekala.

“Lokasi kejadian yang merupakan tempat men­jalankan aktiviti sabung ayam dan perjudian dibuka sekali-sekala. Kadang-ka­dang ia dibuka untuk sabung ayam dan adakalanya untuk perjudian,” jelas beliau lanjut.

Dalam kejadian yang ber­laku sekitar jam 10.15 malam Selasa lalu, ketika berada di gelanggang sabung ayam haram miliknya itu, mangsa telah ditembak di dahi dan pipi kanan serta bahu kiri oleh dua lelaki yang bertopeng dan masing-masingnya bersen­jatakan sepucuk pistol.

Mangsa yang parah telah dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan namun disahkan mening­gal dunia semasa sedang menerima rawatan.