Tangkapan kilat

0

DIREMAN: Suspek-suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Miri petang semalam untuk mendapatkan perintah reman.

Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Polis Miri percaya dapat menyelesaikan kes bunuh seorang penganggur yang ditetak sehingga mati di Jalan Tritonia di sini petang Selasa lalu dengan tertangkapnya lima lelaki dan merampas sebilah pedang samurai dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee berkata, kesemua suspek yang berusia antara 30 dan 39 tahun ditangkap di empat lokasi berasingan oleh sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri yang diketuai ASP Nagulan Maniam.

“Susulan kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang Selasa lalu, polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan penjenayah terbabit dan operasi memburu telah digerakkan sehingga jam 8.30 malam.

“Hasilnya, kita berjaya memberkas kelima-lima suspek terbabit dalam masa empat jam dan merampas beberapa barang kes termasuk sebilah pedang samurai yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa,” ujarnya.

Katanya, suspek pertama berusia 30 tahun telah diberkas pada jam 4.30 petang di Jalan Primula di sini, diikuti suspek kedua dan ketiga berusia 31 dan 39 tahun, masing-masing pada jam 5.50 dan 6 petang di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Malva, Sungai Baong, Krokop di sini.

Manakala suspek keempat, 32, diberkas pada jam 6.35 petang di sebuah kedai makan di kompleks beli-belah Boulevard dan suspek terakhir, 30, ditangkap pada jam 8.30 malam di hadapan sebuah hotel bajet di Jalan Yu Seng Utara.

“Berikutan tangkapan itu, polis turut merampas sebatang kayu, sebilah pedang samurai, sebilah taji ayam, dua buah motosikal dan dua buah topi keledar untuk dijadikan barang kes.

“Justeru kita percaya dengan penangkapan lima suspek terbabit dan merampas beberapa barang, polis dapat menyelesaikan kes tetak dan bunuh ini dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya sambil menambah dua motosikal yang dirampas itu dipercayai motosikal curi.

Gan memberitahu demikian pada sidang media yang diadakan di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini petang semalam.

Hadir sama Timbalannya, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit, ASP Cheong Soon Yew serta beberapa pegawai polis yang lain.

Dalam pada itu menurut beliau, motif ke­jadian dipercayai berpunca dari perselisihan faham yang berlaku di antara si mati dan suspek berhubung dadah.

“Si mati ada mempunyai rekod kesalahan lampau berhubung kes dadah dan pernah ditangkap pihak (polis) narkotik di sini,” katanya sambil memberitahu mangsa mati akibat cedera parah di dahi dan paha kanan.

Ketika ditanya adakah kesemua suspek posi­tif dadah, beliau memberitahu ujian saringan air kencing ke atas mereka sedang dijalankan dan hasilnya akan diketahui kelak.

Dalam pada itu, kata Gan, kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret petang semalam untuk mendapatkan perintah reman.

“Empat daripada suspek terbabit diperin­tahkan supaya direman tujuh hari sehingga 31 Julai ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan polis, manakala suspek ketiga dibebaskan,” ujar beliau lanjut.

Dalam kejadian itu, mangsa Lee Hua Dung, 37, telah didatangi empat lelaki, dua daripadanya bersenjatakan parang panjang dan sebatang besi, manakala dua lagi hanya duduk di atas motosikal.

Dua lelaki terbabit telah bertindak meny­erang sambil mengejarnya di sekeliling ban­gunan sebuah hotel bajet di Jalan Tritonia, tempat mangsa menginap sebelum mangsa re­bah dan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah kedai runcit yang terletak berhampiran.

Mangsa yang cedera parah di dahi dan paha kanan telah dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia sekitar jam 8 malam hari sama.