Arkitek ditemui selamat di bawah pokok ara

0

SELAMAT: Michael (depan) bergambar bersama pasukan SAR sebaik ditemui awal pagi semalam setelah tersesat 18 jam dalam hutan kecil di belakang kawasan Bumiko di Miri.

MIRI: Seorang arkitek bebas yang dilaporkan hilang di sebuah hutan kecil di belakang kawasan Bumiko di sini petang Khamis lalu dijumpai selamat awal pagi semalam setelah 18 jam berada di dalam hutan.

Michael Su Kuo Yen, 55, dijumpai sekitar jam 7.30 pagi semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Miri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri.

Ketika ditemui, Michael sedang duduk dalam keadaan tidak bermaya di bawah sebatang pokok ara di dalam hutan kecil berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari laluan masuk utama.

“Kami nampak dahan pokok di sebuah kawasan dalam hutan kecil itu bergoyang dan kami segera menuju ke arah itu apabila tiba-tiba ternampak mangsa melambaikan tangan ke arah kami dalam keadaan muka pucat dan tidak bermaya,” kata salah seorang daripada anggota yang menyertai SAR.

Menurut sumber, pada petang Khamis lalu, mangsa telah pergi ke kawasan hutan berkenaan untuk meninjau tapak projek dan kehilangannya hanya disedari setelah beberapa orang rakan gagal menghubungi telefon bimbitnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kehilangan arkitek terbabit.

“Namun kita bersyukur kerana mangsa telah ditemui dalam keadaan selamat sekitar jam 7.30 pagi tadi (semalam) oleh pasukan SAR dan dia telah dihantar ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Terdahulu menurut beberapa orang rakan mangsa yang ditemui di tempat kejadian malam kelmarin memberitahu mereka telah berusaha mencari mangsa di hutan kecil berkenaan namun tidak berhasil.

“Kami masuk ke dalam hutan untuk mencari Michael sambil memanggil namanya dengan harapan dia dapat mendengar, namun tidak berhasil,” kata seorang daripada rakan mangsa.

Setelah mangsa gagal ditemui, mereka kemudian memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang kejadian tersebut dan seterusnya meminta bantuan.

Sementara itu, Michael yang ditemui Utusan Borneo di sini semalam mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pasukan SAR yang telah berusaha mencarinya sehingga dia ditemui dalam keadaan selamat.

“Saya mengucapkan syukur kerana masih hidup setelah 18 jam tersesat di dalam hutan tanpa makan dan minum. Apa yang terlintas di fikiran ialah mencari jalan keluar dari hutan berkenaan untuk menyelamatkan diri,” katanya sambil memberitahu hanya mengalami calar di kaki dan tangan.

Michael yang berasal dari Kuching serta mempunyai firma arkitek di Kuala Lumpur tiba di Miri pada pagi Khamis lalu untuk meninjau tapak projek di hutan kecil tersebut dan dijadualkan pulang semula ke Kuala Lumpur hari ini.