Kekalkan rekod sifar kemalangan maut

0

Oleh Steve Annuar

 

HATI-HATI DI JALAN RAYA: Ahmad Lai menyampaikan hamper kepada pemandu ditemani oleh Gan dan Antonio (tengah) ketika kempen Ops Selamat 5 di laluan pesisir pantai Miri Bintulu petang semalam.

MIRI: Rekod sifar kemalangan maut semasa balik kampung berhari raya harus dikekalkan dengan menitikberatkan aspek keselamatan jalan raya.

Sehingga semalam tiada kes kemalangan maut dilaporkan semasa Ops Selamat 5 yang dilancarkan sejak 21 Julai lalu.

Tiada kes kemalangan maut dilaporkan dalam operasi sama pada tahun lalu yang diadakan pada 1 hingga 15 Ogos dan 12 hingga 26 Ogos.

“Kita mahu rekod ini terus kekal. Ketika musim perayaan ini, kita harus pandai menjaga diri, keselamatan kita termasuk pengguna lain ketika berada di jalan raya,” jelas Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ops Selamat 5 di KM14 Jalan Pesisir Pantai Miri Bintulu petang semalam. Operasi dilaksanakan hingga 4 Ogos.

Sehubungan itu, Ahmad Lai menasihatkan pengguna laluan tersebut khasnya penunggang motosikal untuk lebih berhati-hati kerana kebanyakan kes kemalangan yang dilaporkan melibatkan mereka.

Pengguna lain juga diingatkan agar berhati-hati ketika memotong kenderaan berat yang didapati semakin banyak menggunakan laluan berkenaan.

“Jangan hanya kita ingin cepat sampai, kita tidak memikirkan keselamatan diri kita dan orang lain termasuk pejalan kaki dan penunggang basikal,” jelas beliau.

Beliau berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Residen Miri, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan pihak-pihak yang terlibat atas keprihatinan mereka menjaga keselamatan pengguna jalan raya di sini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk berhati-hati dan berhemah untuk mengelak mereka dari terlibat dalam sebarang nahas jalan raya.

“Kita harus berhati-hati di mana-mana jalan raya. Selagi kita bawa kenderaan, selagi itulah kita berhati-hati,” jelasnya.

Menerusi Ops Cantas, polis Miri akan terus membuat pemantauan dan meningkatkan rondaan untuk menjaga keselamatan kawasan kediaman pada musim perayaan ini.

Semasa pelancaran Ops Selamat semalam, sebanyak 10 hamper dan 250 bungkus makanan diedarkan kepada pengguna jalan pesisir pantai Miri Bintulu.

Hadir sama ialah Residen Miri Antonio Kahti Galis, Pemanca Wilson Siang Lim, ketua-ketua masyarakat dan wakil-wakil jabatan.