KRT Kampung Debak Laut Hulu, PLKN jayakan Program Tautan Silaturahim Siri Ketiga

0

Oleh Hamimi Kassim

 

BERTANYA KHABAR: Pelatih PLKN Kem Bukit Saban sedang berbual dan menyerahkan sumbangan berupa beras kepada warga emas di Kampung Debak Laut.

PADA 21 Jun lalu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Debak Laut Hulu, Debak bersama pelatih Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Bukit Saban, Betong menganjurkan Program Tautan Silaturahim Siri Ketiga.

Diadakan di Kampung Debak Laut Hulu, program tersebut berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang dengan aktiviti melibatkan penduduk kampung tersebut.

Pengerusi KRT Debak Laut Hulu Abg Suhaimi Abg Mohammad berkata, objektif utama penganjuran program tersebut ialah untuk mengeratkan silaturahim antara KRT, pelatih dan penduduk kampung.

Selain itu, program ini diadakan untuk mendedahkan pelatih dengan peranan dan sumbangan pasukan sukarela dalam kebajikan masyarakat.

“Melalui program ini diharapkan golongan generasi muda dari kalangan pelatih PLKN ini dapat didedah dan diterapkan dengan semangat kesukarelaan dan peri pentingnya sumbangan mereka terhadap kebajikan masyarakat,” katanya ketika menghubungi pemberita.

Sementara itu, Suhaimi mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada pihak Kem PLKN Bukit Saban kerana dengan kerjasama yang diberikan berjaya menganjurkan program tersebut untuk tahun yang ketiga bersama-sama.

“Kita berharap agar hubungan erat antara KRT dan PLKN akan berterusan sampai bila-bila,” jelasnya.

Tambahnya, antara pengisian program tersebut ialah Program Ziarah Rumah Warga Emas yang terletak di sekitar Kampung Debak Laut Hulu.

Semasa kunjungan tersebut, selain membantu dan mengenali warga emas di situ, pelatih PLKN yang hadir turut menghulurkan sumbangan berupa beras kepada setiap warga emas yang dilawati.

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Pegawai Perpaduan Betong Nor Hafifi Osman Naidin, Timbalan Komandan Pengurusan PLKN Bukit Saban Kapten Rutheravan Raja Sakri, Penyelaras dan Penolong Pegawai Kesatria Haszanariah Hassan, Bendahari Masjid Iman Debak Laut Mustapa Rosli dan ahli Jiran Wanita dan Jiran Muda KRT Debak Laut Hulu.