Lubok ponteng

0

Oleh Watt Zacchaeus//

 

GEJALA TIDAK SIHAT: Pelajar yang sedang bersembunyi di kawasan longkang di bahagian belakang sebuah kilang di Lorong Sukun 28 sempat dirakamkan tanpa pengetahuan mereka, kelmarin.

SIBU: Lorong Sukun 28 dan kawasan sekitarnya menjadi lubuk gejala ponteng sekolah.

Kawasan itu sememangnya kerap dikunjungi pelajar-pelajar sekolah yang didapati ponteng dan kelihatan merayau-rayau walaupun sudah masuk waktu persekolahan.

“Gejala ponteng sekolah di kawasan ini memang sudah lama berlaku dan kami sering melihat sekumpulan pelajar sekolah bersembunyi di kawasan longkang, taman permainan atau kawasan kilang.

“Ada sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan dilihat bersama dan tidak kurang juga yang sedang berpacaran berdua-duaan di kawasan itu.

“Pelajar terbabit kelihatan di kawasan itu sebanyak dua hingga tiga kali seminggu. Bukan setiap harilah mereka ponteng. Mereka kerap kelihatan pada hari Isnin dan Rabu,” ujar seorang pengadu yang enggan dikenali kepada Utusan Borneo, semalam.

Jalan Sukun merupakan sebuah kawasan perindustrian di mana banyak kilang dari pelbagai industri didirikan di situ.

Kawasan itu juga berdekatan dengan sebuah sekolah menengah yang dipercayai pelajar-pelajarnya ramai yang ponteng sekolah dan bersembunyi di kawasan terbabit.

Jelasnya, kemunculan sekumpulan pelajar terbabit kadang-kadang menimbulkan rasa bimbang di kalangan pekerja kilang atau pekerja lain di kawasan perindustrian terbabit kerana khuatir terhadap keselamatan mereka.

“Bayangkan kawasan di perindustrian ini banyak jentera berat yang memunggah barang atau sebagainya. Kami bimbang kalau nasib tidak baik menimpa mereka.

“Ini kerana kemalangan boleh terjadi di mana-mana dan malang tidak berbau. Misalnya mereka sering bersembunyi di bahagian belakang kilang atau parit kilang, mereka boleh terkena barang berat yang terjatuh.

“Lagipun, tiada siapa tahu mereka sembunyi di situ.

Oleh itu, kita menyeru pihak sekolah atau pihak berkuasa memantau keadaan di sini.

“Ini kerana kawasan ini adalah kawasan perindustrian, sudah semestinya ia adalah kawasan berbahaya dan tidak boleh dimasuki oleh sesiapa jika tiada urusan,” tegasnya.

Beliau menambah, sekumpulan pelajar seramai tiga hingga 10 orang akan mula kelihatan merayau-rayau atau sembunyi di kawasan terbabit sekitar jam 9 pagi.

Selepas itu, kira-kira jam 11.30 pagi, mereka seolah-olah ‘ghaib.’

“Kami percaya pelajar terbabit memang ponteng sekolah. Kadang-kadang mereka masih berpakaian seragam sekolah dan ada kalanya mereka berpakaian baju PJ (Pendidikan Jasmani) atau sukan. Gejala ini memang sudah lama berlaku namun tidak dihiraukan para pekerja di sini.

“Ada yang baik hati sanggup memberi makanan kepada mereka serta sempat menasihati mereka agar tidak berbuat demikian, namun mereka masih lagi mengulangi gejala terbabit sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Ditanya adakah pelajar terbabit adalah orang sama yang selalu ponteng sekolah, katanya, kebanyakan adalah orang yang sama, namun ada juga muka-muka baharu.

“Hari yang didapati selalu dipilih oleh pelajar terbabit untuk ponteng sekolah ialah hari Isnin dan Rabu. Kadang-kadang mereka datang menggunakan motosikal dan juga berjalan kaki,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau berharap pihak yang berkenaan dapat melakukan sesuatu bagi menangani gejala terbabit yang dilihat semakin serius di kawasan tersebut.

“Kebanyakan mereka adalah golongan pelajar kaum Bumiputera khasnya pelajar kaum Iban dan Melayu. Kita cuma sayangkan masa depan mereka dan amat mengharapkan mereka belajar bersungguh-sungguh di sekolah dan mencapai kejayaan.

“Begitu juga, kita simpati dengan ibu bapa mereka yang mengharapkan mereka turun ke sekolah tetapi mereka ponteng. Ia seolah-olah menipu diri sendiri dan ibu bapa.

“Semoga pihak yang berkenaan mengambil serius hal ini dan diharap ia tidak berulang lagi selepas ini,” tambahnya.