Waran tangkap ke atas suspek serang

1

KUCHING: Mahkamah Tinggi semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas tiga suspek yang sebelum ini mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua orang pelajar institusi pengajian tinggi swasta di sini pada 6 April lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie dalam sebutan kes semalam mengarahkan ketiga-tiga suspek Ramshah Mohd Ramlan, 23, dari Kampung Tabuan Tengah, Mohamad Sukmarulnizam Ademan, 23, dari Taman Tabuan Park dan Mohamad Fadilah Jamil, 34, dari Kampung Tabuan Melayu ditahan sebelum 30 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Kelmarin, mahkamah memanggil balik ketiga-tiga suspek untuk sebutan semula kes selepas video mengenai insiden tersebut tersebar luas dalam media sosial.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek tidak menghadirkan diri pada sebutan semula kes itu semalam yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen, namun ditukarkan pada saat akhir ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen Allaudeen Ismail sebelum ini membebaskan ketiga-tiga mereka dengan ikat jamin sementara untuk penghakiman yang ditunda kepada 10 September.

Ketiga-tiga tertuduh berhadapan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda serta sebat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ramshah dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM6,000, manakala Sukmarulnizam dan Fadilah masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 sementara menunggu penghakiman.

Ketiga-tiga mereka juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan pada minggu ketiga setiap bulan sementara menunggu penghakiman kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Stella Augustine Druce yang membantah keputusan mahkamah sebelum ini memberitahu bahawa tertuduh pertama, Ramshah mempunyai lima tangkapan waran untuk kesalahan trafik dan kesalahan berkaitan dadah.

Manakala tertuduh kedua Sukmarulnizam sebelum ini juga pernah disabitkan dengan menyebabkan kecederaan dan juga mempunyai waran tangkap bagi kesalahan trafik.

“Saya menggesa mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa selepas insiden itu,” katanya.

Ketiga-tiga tertuduh, yang menganggur mengaku melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6 petang di hadapan sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Muara Tabuan pada 6 April tahun ini.

Kedua-dua mangsa, Nicholas Gandik Ningkan dan Casspetra Bawok Aldrin yang masing-masing berumur 19 tahun, cedera parah semasa serangan oleh tiga tertuduh bersama-sama dengan tiga yang lain yang masih bebas ketika cuba menghalang mereka daripada mencuri motosikal milik rakan mereka.