Mawan Presiden TERAS, Nansian dipilih Timbalan

0

RASMI: Mawan (tiga kiri) bersalaman dengan pihak pengurusan bangunan selepas pembukaan rasmi Ibu Pejabat TERAS di Kuching, semalam.

Mesyuarat pemilihan lebih kepada formaliti sebelum banyak lagi jawatankuasa kecil akan ditubuhkan

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Seperti dijangka, Tan Sri William Mawam Ikom dipilih sebagai Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) pada Pemilihan dan Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) di ibu pejabat parti itu, semalam.

Bekas presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tersebut yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial akan dibantu oleh Datuk Peter Nansian Ngusie sebagai Timbalan Presiden dan Rosey Yunus sebagai Naib Presiden Kanan.

Turut tersenarai dalam barisan kepimpinan tertinggi TERAS sebagai Bendahari Agung ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Ngumbang dan ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri Muran sebagai Setiausaha Agung.

“Dalam usaha mengukuhkan lagi TERAS sebagai sebuah parti politik baharu, kami telah mengemukakan proposal untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan seorang lagi Timbalan Presiden iaitu Timbalan Presiden Dua dilantik selain Nansian sebagai Timbalan Presiden Satu.

“Pindaan yang sama turut dibuat ke atas jawatan Naib Presiden Kanan bagi membolehkan parti melantik seorang lagi Naib Presiden Kanan Dua selain Rosey sebagai Naib Presiden Kanan Satu,” katanya.

Mawan berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat TGA dan pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti yang pertama di ibu pejabat parti di sini, semalam.

Mengulas mengenai mesyuarat itu semalam, Mawan berkata ia lebih bersifat formaliti untuk menjadikan parti lebih tersusun sebelum banyak lagi jawatankuasa kecil ditubuhkan.

Apa yang pasti, menurut Mawan, satu majlis makan malam akan diadakan pada September ini di Hotel Riverside Majestic yang dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Mesyuarat hari ini (semalam) adalah permulaan kepada kami agar lebih tersusun memandangkan pilihan raya sudah tidak lama lagi.

“Selepas ini, kami akan membawa semua ahli-ahli exco dan pemimpin-pemimpin lain yang akan dipilih untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri bagi menyatakan sokongan kami kepada kepimpinan beliau.

“TERAS kini sudah menjadi realiti dan kami akan menghantar permohonan untuk menyertai BN pada kunjungan hormat kepada Ketua Menteri kelak secara rasmi,” katanya.

Pada kesempatan itu, Mawan turut menyatakan pesanan kepada rakan-rakan dalam BN agar tidak bimbang dengan TERAS kerana TERAS adalah rakan mereka dan bukan musuh BN.

Beliau turut meminta pihak yang tidak mempunyai urusan dengan TERAS agar tidak lagi memburuk-burukkan TERAS kerana ia adalah tidak wajar.