Pasrah mengharungi titian usang

0

Jaimah, keluarga masih menunggu jawapan mohon laluan lebih baik

Oleh Nicklos Louis Kaderi //

MUKAH: Seorang penduduk dan keluarganya dari Kampung Tanjung di sini terpaksa mengharungi jalan uzur dan usang susulan permohonan terhadap titi yang dipohonnya kepada pihak atasan masih belum mendapat jawapan sehingga sekarang.

Jaimah Morsidi, 62, memberitahu beliau sudah beberapa kali memohon titi ke rumahnya, namun masih belum mendapat jawapan daripada pihak atasan dan setiap permohonan tidak pernah berjaya.

Jaimah berkata, kedudukan rumah yang jauh dari jalan utama amat meyukarkan pergerakan kerana terpaksa mengharungi  jalan yang usang dan uzur serta teruk dan amat membimbangkan mereka sekeluarga.

Tinjauan ke kawasan tersebut semalam menunjukkan keadaan titi yang menghubungkan jalan utama yang terpaksa diharungi mereka amat uzur dan usang.

“Kita hidup bukannya sentiasa sihat, justeru apabila kita jatuh sakit terutamanya waktu malam bagaimana untuk mengharungi jalan seumpama itu. Saya amat bimbang dengan keadaan jalan ini sekarang.

“Saya pernah memohon kepada pihak atasan namun sehingga sekarang permohonan saya itu masih belum mendapat respons daripada mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jaimah menambah, titi yang mereka guna sekarang ialah jalan dibuat sendiri oleh menantunya menggunakan serpihan kayu terbuang di tepi sungai.

Katanya, apa yang menimbulkan kemusykilan ialah jiran-jiran sebelah rumah telah diluluskan permohonan tetapi permohonan mereka seperti tidak diendahkan.

Sementara itu, sambil beliau meluahkan perasaan kecewa dan sedih dengan keadaan tersebut dan memohon jasa baik pihak atasan melakukan sesuatu agar mereka dapat apa yang mereka pohon.

Justeru, dia dengan penuh harapan yang tinggi agar permohonan mereka akan mendapat jawapan dalam masa terdekat agar kesukaran mereka alami dapat diatasi.

“Mereka buat titi pun sudah cukup baik apatah lagi jika mereka (pihak atasan) membuat jalan berturap untuk kami yang tinggal di sini. Lagipun kenderaan anak-anak saya terpaksa diletak jauh dari rumah di jalan utama kerana tidak dapat masuk dan amat membimbangkan,” katanya.