Umpama bom

0

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Orang ramai yang mengunjungi kedai-kedai kopi dan sebuah restoran di Jalan Pahlawan di sini pagi semalam digemparkan dengan letupan yang pada mulanya disangka bom.

Letupan kuat itu membuatkan ramai yang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Selepas keluar dari premis-premis sekitar, baharulah mereka sedar bahawa letupan itu datang dari sebuah kereta yang sedang terbakar.

Pada jam 9 pagi semalam, sebuah kereta jenis Toyota Vios tiba-tiba meletup dan terbakar sehingga menggemparkan penduduk berdekatan.

Menurut sumber, kereta terbabit yang difahamkan baharu dibeli dua bulan lalu adalah milik seorang pekerja sebuah restoran di situ.

“Pemilik kereta tersebut adalah antara yang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri, namun terkejut apabila melihat keretanya terbakar.

“Sebuah kereta jenis Proton Saga yang diparkir di sebelah kereta terbabit turut terkena percikan api di bahagian tepinya, namun berjaya diselamatkan pemiliknya dengan mengalihkannya ke tempat lain,” katanya.

Pemilik kereta terbabit serta beberapa rakannya dipercayai cuba memadamkan api dengan alat pemadam api, namun usaha mereka gagal.

Mereka kemudian menghubungi pihak bomba untuk bantuan lanjut.

Bomba yang dimaklumkan bergegas ke tempat kejadian dan berjaya memadam api beberapa minit kemudian.